Inter kekal gelaran Piala Itali
ROME: Lautaro Martinez menjaringkan dua gol ketika finalis Liga Juara-Juara Eropah, Inter Milan bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Fiorentina 2-1 dan mengekalkan gelaran Piala Itali.
Nicolas Gonzalez meletakkan Fiorentina di depan dalam aksi di Stadio Olimpico, tetapi Martinez menyamakan kedudukan sebelum meledak gol kemenangan di akhir babak pertama untuk skuad kendalian Simone Inzaghi.
Gelaran Piala Itali kesembilan Inter meletakkan mereka setanding dengan Roma. Hanya Juventus masih mendahului dengan 14 gelaran kejohanan berkenaan.
“Saya sangat gembira kami mula memenangi trofi bersama kelab hebat ini sepanjang dua tahun lalu.
“Kami perlu meneruskan rentak ini. Kami begitu mahukan kejuaraan malam ini. Kami bermula agak perlahan pada 15 minit pertama tetapi kemudian mula menyedari kesilapan kami,” kata Martinez, yang turut membantu Inter memenangi Serie A pada tahun 2021 dan Piala Itali tahun lalu.
Juara enam kali, Fiorentina dinafikan trofi pertama mereka sejak tahun 2001, tetapi kelab itu masih boleh memenangi kejuaraan musim ini selepas mara ke final Liga Konferens Eropah.
Mereka akan berdepan West Ham di Prague pada 7 Jun, tiga hari sebelum Inter berdepan juara Liga Perdana Inggeris, Manchester City pada final Liga Juara-Juara Eropah di Istanbul.
“Kami perlu mengumpul tenaga untuk Prague. Kami perlu ke sana dengan penuh yakin dan membawa pulang trofi serta membalas dendam,” kata pengendali Fiorentina, Vincenzo Italiano.
Fiorentina, bermula baik apabila Gonzalez menyempurnakan hantaran Jonathan Ikone untuk mendahului Inter.
Bagaimanapun penyerang Argentina, Martinez menyamakan kedudukan selepas mendapat lorongan Marcelo Brozovic pada minit ke-29 untuk gol ke-100nya bersama Inter.
Lapan minit kemudian, Martinez sekali lagi menewaskan Pietro Terracciano hasil hantaran Nicolo Barella.
AFP