Apakah Hala Tuju Pemuda UMNO Di Bawah Kepimpinan Dr Akmal?

Apakah Hala Tuju Pemuda UMNO Di Bawah Kepimpinan Dr Akmal?

Apakah Hala Tuju Pemuda UMNO Di Bawah Kepimpinan Dr Akmal?

Penulis menonton beberapa kali ucapan dasar, ucapan penggulungan dan juga ucapan wakil Pemuda dari Ketua Pemuda UMNO yang baharu, Dr Akmal Saleh dalam PAU 2023.

Kenapa ianya menarik minat penulis?

Kerana inilah kali pertama Dr Akmal memberikan ucapan di pentas PAU sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.



Kali terakhir penulis menontonnya bersama beberapa rakan penulis yang terdiri dari otai UMNO.

Turut sama bersama kami adalah beberapa ahli dari Perikatan Nasional yang ada di kedai kopi tersebut.

Bila ditanya pandangan mereka tentang ucapan Dr Akmal, majoriti mengatakan, bolehlah bagi markah kesian.

Biar penulis ulas mengapa mereka bersikap sinis terhadap penampilan Dr Akmal dipentas PAU 2023.



Antara isu utama yang dibawa oleh Dr Akmal dengan penuh semangat dan berapi-api adalah isu perumahan dan pendidikan.

Tetapi, kedua-dua isu tersebut adalah isu klishey yang sebenarnya sudah ada penyelesaiannya.

Isu Perumahan

Dr Akmal membawakan isu kesukaran anak muda untuk membeli rumah.

Kerana terpaksa menyediakan deposit sebanyak 10% dari harga rumah.



Penulis tidak pasti sama ada Dr Akmal ada membuat ‘homework’ sebelum menyediakan teks ucapan.

Pada tahun 2011, di era DS Najib, kerajaan memperkenalkan Skim Rumah Pertamaku.

Skim Rumah Pertamaku pemudah cara untuk golongan yang belum memiliki rumah supaya dapat membeli rumah pertama.

Ianya menawarkan pinjaman sehingga 110% dari harga rumah.



Di mana pinjaman ini akan menampung duit deposit, kos guaman dan beberapa kos lain untuk sewabeli rumah.

Benar, skim ini sudah ditamatkan pada 31 Mac 2023.

Tetapi mulai 1 April 2023, ianya digantikan dengan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) di bawah Kementerian Kewangan.

Kemudahan yang ditawarkan di bawah SJKP adalah sama seperti Skim Rumah Pertamaku.



Jadi, isu yang di bawa oleh Dr Akmal mengenai pemilikan rumah oleh anak muda, sebenarnya sudah pun ada penyelesaiannya sejak 2011 lagi.

Isu Pendidikan

Isu kedua yang dibawa oleh Dr Akmal adalah isu pendidikan.

Satu isu yang agak bagus dengan matlamat yang agak jelas.

Beliau mahu supaya semua kepimpinan Pemuda di peringkat bahagian mempunyai pendidikan sekurang-kurangnya di peringkat diploma.



Sebenarnya di sinilah masalahnya dalam perjuangan Dr Akmal.

Adakah perjuangan Dr Akmal terhadap anak muda hanya terbatas kepada anak muda di dalam UMNO sahaja?

Apakah anak muda yang berada di luar UMNO tidak perlu diperjuangkan pendidikan mereka?

Jangan lupa, UMNO adalah sebahagian dari kerajaan yang memerintah sekarang dan Dr Akmal bercakap atas kapasiti beliau sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia.

Pergerakan Pemuda UMNO merupakan antara sayap UMNO, sebuah parti yang menjadi sebahagian dari kerajaan yang memerintah.

Jangan terlalu sempit dalam perjuangan dan hanya fokus kepada kelompok yang kita mempunyai kepentingan sahaja.

Juga jangan lupa, dalam pilihanraya, UMNO memerlukan undi anak muda yang berada di dalam dan di luar UMNO.

Isu DAP

Bagi penulis, isu mendesak DAP supaya meminta maaf dari UMNO sebenarnya tidak sepatutnya ditimbulkan.

Sewaktu kita berkerjasama dengan PAS dalam Muafakat Nasional, pernahkah UMNO mendesak PAS supaya meminta maaf kerana telah mengkafirkan UMNO?

Waktu Gerakan berada dalam Barisan Nasional, pernahkah UMNO mendesak Gerakan supaya meminta maaf kerana mencetuskan Tragedi 13 Mei.

Jadi kenapa UMNO perlu mendesak DAP untuk meminta maaf?

Bukan membela DAP, tetapi, bukankah presiden UMNO sendiri sudah menegaskan tiada keperluan untuk DAP meminta maaf.

Kenapa mesti disanggah pendirian yang telah diputuskan oleh presiden UMNO?

Yang paling mengecewakan adalah sikap dan bahasa yang dizahirkan oleh Dr Akmal ketika berada di pentas.

Jangan lupa, apa yang dilakukan ketika itu menjadi tontonan di seluruh dunia dan ianya akan kekal hingga berpuloh tahun.

Ketegasan masih boleh dizahirkan tanpa melintasi garis adab bangsa Melayu.

Bukankah UMNO adalah parti keramat orang Melayu?

Kalau Ketua Pemuda menunjukkan sikap tidak beradab, di manakah melayunya UMNO?

 

Apakah Hala Tuju Pemuda UMNO Di Bawah Kepimpinan Dr Akmal?

 

Di Syorkan Untuk Anda:

Temui Kami:

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button