Jabatan Keadilan AS saman Apple

Oleh – Syeikh Baran


Jabatan Keadilan AS saman Apple
Gambar fail – FOTO REUTERS

Jabatan Keadilan dan sejumlah negeri di Amerika Syarikat (AS) menyaman Apple, semalam.

Apple dituduh menggunakan permintaan tinggi terhadap iPhone serta produk lain keluaran syarikat gergasi teknologi itu, untuk menaikkan harga perkhidmatannya, sekali gus menjejaskan syarikat pesaing yang lebih kecil.



“Pengguna tidak sepatutnya terpaksa membayar harga lebih tinggi disebabkan tindakan syarikat-syarikat melanggar undang-undang persaingan.

“Sekiranya tidak dicabar, Apple hanya akan terus memperkukuhkan monopoli telefon pintarnya,” kata Peguam Negara, Merrick Garland, dalam satu kenyataan.

Berdasarkan saman itu, Apple antara lain dituduh menggunakan kuasa pasarannya untuk mendapatkan lebih banyak wang daripada pengguna, pemaju, pencipta kandungan, artis, penerbit, perniagaan kecil dan pedagang.

Saman setebal 88 muka surat itu difailkan di Mahkamah Persekutuan AS di Newark, New Jersey.



Bagaimanapun, Apple dalam satu kenyataan menolak dakwaan terbabit.

“Saman berkenaan mengancam siapa diri kami dan prinsip yang membezakan produk Apple dalam pasaran sangat kompetitif.

“Sekiranya berjaya, ia akan menghalang keupayaan kami untuk mencipta teknologi yang orang ramai jangkakan daripada Apple – yang mana perkakasan, perisian dan perkhidmatan adalah saling bersilang,” menurut kenyataan berkenaan. – REUTERS

Sumber – BERITA HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button