4.33 juta kanak-kanak UK tinggal dalam isi rumah berpendapatan rendah

Oleh – Syeikh Baran


4.33 juta kanak-kanak UK tinggal dalam isi rumah berpendapatan rendah
Dianggarkan 4.33 juta kanak-kanak tinggal dalam isi rumah berpendapatan rendah sehingga Mac 2023. – Foto AGENSI

Lebih ramai kanak-kanak hidup dalam kemiskinan di United Kingdom (UK) berbanding sebelum ini, menurut angka rasmi kerajaan yang dikeluarkan semalam.

Kajian terdahulu menunjukkan ketidaksamaan sosial yang semakin meningkat di negara Kumpulan Tujuh (G7) menjejaskan kesihatan kanak-kanak selain menyaksikan peningkatan individu yang terpaksa menggunakan khidmat bank makanan.



Dianggarkan 4.33 juta kanak-kanak tinggal dalam isi rumah berpendapatan rendah sehingga Mac 2023, menurut rekod Jabatan Kerja dan Pencen.

Jumlah itu adalah peningkatan daripada 4.22 juta tahun sebelumnya dan melebihi paras tertinggi 4.28 juta yang direkodkan untuk 12 bulan hingga Mac 2020.

“Hari ini 4.3 juta kanak-kanak berada dalam keadaan rentan dengan lebih 100,000 lagi kanak-kanak berada dalam kemiskinan. Mereka dilupakan,” kata Meghan Meek-O’Connor, dari badan amal Save the Children.

Sesebuah isi rumah dianggap berada dalam kemiskinan relatif jika ia di bawah 60 peratus daripada pendapatan median.



Anggaran jumlah penduduk berpendapatan rendah adalah 14.35 juta, turun daripada 14.40 juta tahun sebelumnya.

Angka itu menunjukkan peningkatan dalam kemiskinan mutlak untuk tahun kedua berturut-turut, menurut Yayasan Joseph Rowntree (JRF).

Kira-kira 600,000 lagi orang, separuh daripadanya kanak-kanak, hidup dalam kemiskinan mutlak berbanding tahun sebelumnya – jumlahnya hampir 12 juta orang.

“Angka kemiskinan tahunan yang diterbitkan hari ini mengesahkan bahawa kerajaan gagal melindungi mereka yang paling terdedah daripada krisis kos sara hidup,” kata ketua penganalisis JRF, Peter Matejic.



Beliau berkata kejatuhan kemiskinan relatif adalah “sebahagian besarnya disebabkan oleh pendapatan isi rumah berpendapatan sederhana merosot, dan bukannya orang berpendapatan terendah lebih baik.”

Statistik menunjukkan bagaimana kenaikan harga tenaga yang curam berikutan pencerobohan Russia ke atas Ukraine mendorong lebih ramai rakyat Britain berada dalam kemiskinan.

Kerajaan berkata angka itu direkodkan ketika tempoh inflasi yang tinggi dan berkata tekanan kos sara hidup ke atas banyak keluarga kini telah “berkurang”.

Setiausaha Jabatan Kerja dan Pencen, Mel Stride, berkata pakej kos sara hidup terbesar di Eropah, bernilai purata £3,800 (RM22,673) setiap isi rumah menghalang lebih ramai orang terjerumus dalam dalam kemiskinan.



Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button