PBB terima pakai resolusi AI global pertama

Oleh – Syeikh Baran


PBB terima pakai resolusi AI global pertama
Foto REUTERS

Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam menerima pakai resolusi global pertama mengenai kecerdasan buatan (AI) bagi menggalakkan perlindungan data peribadi, memantau risiko AI dan melindungi hak asasi manusia, kata pegawai Amerika Syarikat (AS).

Resolusi tidak mengikat itu, yang dicadangkan AS dan ditaja bersama 122 negara lain, mengambil masa tiga bulan untuk dirunding dan menyokong pengukuhan dasar privasi, kata pegawai itu yang memberi taklimat kepada pemberita sebelum resolusi diluluskan.



“Kita sedang belayar di perairan yang bergelora dengan teknologi yang berubah pantas, yang bermakna ia lebih penting berbanding sebelumnya untuk mengemudi berdasarkan nilai kita,” kata seorang pegawai kanan pentadbiran, yang turut menyifatkan resolusi itu sebagai “dokumen konsensus global pertama yang benar-benar mengenai AI.”

Resolusi itu adalah yang terbaharu dalam beberapa siri inisiatif oleh kerajaan di seluruh dunia untuk membentuk pembangunan AI, ketika wujud kebimbangan, antara lain ia boleh digunakan untuk mengganggu proses demokrasi, penipuan “turbocharge” atau menyebabkan kehilangan pekerjaan yang dramatik.

“Reka bentuk, pembangunan, penggunaan dan penggunaan sistem AI yang tidak wajar atau berniat jahat menimbulkan risiko yang boleh menjejaskan perlindungan, promosi dan menikmati hak asasi manusia serta kebebasan asasi,” kata pegawai itu.

Ditanya sama ada perunding berdepan tentangan dari Russia atau China, negara anggota PBB yang turut mengundi menyokong dokumen itu, pegawai itu mengakui terdapat “banyak perbincangan hangat, namun kami terbabit secara aktif dengan China, Russia, Cuba, negara lain yang kebiasaannya tidak bertentang mata dengan kami mengenai isu.



“Kami percaya resolusi itu mencapai keseimbangan yang sesuai antara memajukan pembangunan, sambil terus melindungi hak asasi manusia,” kata seorang pegawai yang enggan dikenali.

Pada November, AS, Britain dan lebih 12 negara lain melancarkan perjanjian antarabangsa terperinci pertama mengenai cara memastikan AI selamat daripada penjenayah, mendesak syarikat untuk mencipta sistem AI dengan reka bentuk yang selamat.

Eropah mendahului AS, dengan penggubal undang-undang Kesatuan Eropah (EU) mengguna pakai perjanjian sementara pada bulan ini untuk mengawasi teknologi, semakin hampir untuk menerima pakai peraturan AI yang pertama di dunia.

Pentadbiran Presiden Joe Biden mendesak penggubal undang-undang untuk mewujudkan peraturan AI, namun Kongres AS yang berbeza pendapat menunjukkan sedikit kemajuan dalam perkara itu.



Rumah Putih berusaha untuk mengurangkan risiko AI kepada pengguna, pekerja dan kumpulan minoriti, yang pada masa sama memperkukuh keselamatan negara dengan perintah eksekutif baharu pada Oktober.

Seperti kerajaan lain di seluruh dunia, pegawai China dan Russia tidak sabar meneroka penggunaan alatan AI untuk pelbagai tujuan.

Bulan lalu, Microsoft berkata, ia menahan penggodam dari kedua-dua negara itu menggunakan perisian OpenAI yang disokong Microsoft untuk mengasah kemahiran pengintipan mereka.

Sumber – BERITA HARIAN




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading