Lari dari polis, Kancil terbalik rempuh rumah penduduk

Oleh – Syeikh Baran


Lari dari polis, Kancil terbalik rempuh rumah penduduk
Keadaan Perodua Kancil yang dinaiki tiga lelaki yang terbabas selepas melanggar rumah penduduk di Kampung Kedondong, Meranti, Pasir Mas, kelmarin. – Foto polis

Kereta dinaiki tiga lelaki terbabas dan melanggar sebuah rumah selepas mereka dikatakan cuba melarikan diri daripada polis di Kampung Kedondong, Meranti di sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed, berkata kejadian 7.35 malam ketika anggota polis menjalankan tugas Ronda Cegah Jenayah (RCJ) di kawasan pentadbiran Balai Polis Meranti di sini, sebelum mendapati sebuah Perodua Kancil dalam keadaan mencurigakan.



Anggota polis menahan kenderaan terbabit, namun pemandunya memecut laju.

“Anggota polis mengekori kenderaan berkenaan dan mendapati kereta itu terbabas di kawasan selekoh serta melanggar rumah penduduk.

“Salah seorang daripada suspek ini cuba melarikan diri ke semak berdekatan, namun ketiga-tiga mereka ditangkap anggota bertugas.

“Semakan rekod mendapati semua suspek mempunyai kesalahan lampau berkaitan kes jenayah dan penyalahgunaan dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.



Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan suspek ditahan reman empat hari bermula 21 sehingga 24 Mac untuk membantu siasatan.

Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button