Pegawai, agensi usah ‘lelap mata’ tangani kenaikan harga barang

Oleh – Syeikh Baran


Pegawai, agensi usah 'lelap mata' tangani kenaikan harga barang
Gambar Hiasan

Di sana sini banyak orang bercakap dan mengeluh mengenai fenomena kenaikan harga barang keperluan terutama makanan di pasaran yang sangat ketara ketika ini.

Badan penyelidikan kewangan dan ekonomi tempatan serta antarabangsa turut meramalkan berlaku kenaikan harga barang secara beransur-ansur dalam negara bagi tempoh suku pertama tahun ini dengan mengaitkannya akibat kenaikan tarif elektrik serta air.



Pelaksanaan kadar cukai baharu khasnya Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sejak 1 Mac lalu turut dikaitkan sebagai faktor mengapa berlaku kenaikan harga barang keperluan pada masa kini.

Bahkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengakui berlaku kenaikan harga makanan sejak kebelakangan ini, lantas mahukan aspek penguatkuasaan dan pemantauan dipertingkatkan.

Berdasarkan teori ekonomi, ada beberapa faktor penyebab kenaikan harga barang seperti permintaan melebihi penawaran, kekurangan bahan mentah, sikap peniaga mencatut di samping kelemahan aspek pemantauan dan penguatkuasaan.

Ketika ini, tidak dinafikan krisis bekalan global, kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat sehingga menjejaskan nilai ringgit turut mempengaruhi kos import menjadi faktor kenaikan harga barang dan makanan.



Justeru, antara langkah paling berkesan bagi membendung dan mengatasi masalah kenaikan harga barang adalah menerusi pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang.

Dalam hal ini kerajaan, khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) perlu lebih agresif mengambil tindakan membendung kenaikan harga barang yang sangat ketara ketika ini.

Pemantauan harga barang terutama pada Ramadan ketika ini serta menjelang Aidilfitri bulan depan perlu diperhebatkan setiap hari bagi mengesan dan mengambil tindakan terhadap peniaga menaikkan harga barang sesuka hati.

Majlis Penasihat Pengguna Negara (MPPN) perlu lebih proaktif membincang dan menimbangkan isu kepenggunaan terutamanya perkara termaktub dalam Akta Perlindungan Pengguna 1999 serta memberi nasihat kepada menteri mengenai tindakan dan pelan harus dilaksanakan.



Selain itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) perlu bergandingan dengan KPDN serta agensi kerajaan berkaitan dalam melaksanakan kawalan harga barang.

Pegawai dan penguat kuasa agensi kerajaan tidak boleh ‘lelap mata’ dengan masalah rakyat ini, sebaliknya perlu proaktif melindungi kepentingan serta kebajikan pengguna.

Pada masa sama, kerajaan perlu membanteras aktiviti pencatutan dan monopoli dalam industri tertentu kerana ia hanya membuka ruang pengeluar mengambil kesempatan ke atas pengguna dengan menaikkan harga barang sesuka hati.

Apa yang penting, usaha menangani isu kenaikan harga barang menuntut kerjasama dan komitmen semua pihak terutama kerajaan dengan sokongan industri, pemegang taruh serta paling penting pengguna.



Pengguna tidak boleh berharap kepada kerajaan semata-mata untuk menangani masalah kenaikan harga barang kerana sebagai rakyat, kita patut menjadi mata dan telinga kepada kerajaan.

Sumber – BERITA HARIAN


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading