JDT mudah jinak juara Liga S, Albirex Niigata FC
JDT mudah jinak juara Liga S, Albirex Niigata FC

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) mudah menjinakkan juara Liga Singapura (Liga S) musim 2022 yang juga pendahulu liga musim ini, Albirex Niigata FC 5-1 pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 2 di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, petang tadi.
Aksi pemanas badan sebelum skuad kendalian Esteban Solari menentang Selangor FC pada separuh akhir Piala FA, 26 Jun ini memberi pendedahan terbaik tatkala barisan pemain Harimau Selatan berdepan dengan barisan pemain Albirex Niigata yang rata-ratanya berpengalaman beraksi di pentas Liga 1 Jepun (Liga J1) dan ada beberapa pemain pernah mewakili pasukan kebangsaan Jepun.
Serangan awal JDT bermula pada minit keempat apabila Fernando Forestieri melorongkan bola kepada Diogo Luis Santo yang bertindak merembat bola leret namun penjaga gol pelawat, Kai Yamamoto sempat merebahkan untuk menangkap bola.
Skuad kendalian Kazuaki Yoshinaga mula memberi tekanan terhadap benteng JDT pada minit ke-15 apabila Riku Fukashiro merembat bola leret dari luar kotak penalti tapi penjaga gol, Farizal Marlias sudah bersedia.
Bagaimanapun Harimau Selatan berjaya merungkai jaringan pada minit ke-18 berpunca daripada bola sepakan lintang Mahamadou Sumareh tepat kepada Diogo yang menanduk menuju ke arah sudut kanan gawang.
DISYORKAN UNTUK ANDA :
- Sanusi, MB Kesayangan Taukey Kedah
- Penyokong UMNO teruja dengar berita rumah Hamzah Zainudin diserbu.
- Waktu terbaik untuk siasat dan dakwa Tun Mahathir – Puad Zarkashi
Giliran Diogo pula menjadi penggerak jaringan kedua selepas menjaringkan gol pertama apabila memastikan Forestieri menemui sasaran pada minit ke-27 menerusi bola lorongan membuka ruang buat penjaring terbanyak Liga Super itu merembat bola leret tepat ke penjuru kanan menewaskan Yamamato pada minit ke-27.
JDT terus memadam sisa perjuangan Albirex Niigata FC pada minit ke-52 selepas pemain gantian, Bergson Da Silva merampas bola daripada pertahanan lawan membolehkan pemain gantian Nazmi Faiz Mansor melakukan sepakan lencong tepat ke penjuru kanan gawang untuk meletak kedudukan Harimau Selatan selesa 3-0.
Tindakan Ahmad Asyar Hadi Mohd Shapri yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya memudahkan tugas Kunori merembat bola leret pada mnit ke-62, menewaskan penjaga gol gantian, Haziq Nadzli
Bagaimanapun, JDT tidak menunggu lama untuk menghukum benteng pasukan lawan pada minit ke-64 selepas bola sepakan lintang Ahmad Hazwan Bakri tepat kepada Bergson yang menanduk bola masuk untuk meletak kedudukan 4-1.
Ahmad Asyar Hadi menebus kesilapan awal yang dilakukannya apabila mencipta gol pada minit ke-68 dengan menanduk bola hantaran lintang Nazmi Faiz untuk JDT mendahului 5-1 dan kekal sehingga tamat perlawanan.