3 hari usaha keluarkan mayat tersepit bawah jengkaut
3 hari usaha keluarkan mayat tersepit bawah jengkaut
KUCHING: Selepas hampir 36 jam, mayat pemandu jengkaut yang tersepit di bawah jentera berat itu di Uma Kahei, Belaga di pedalaman hulu Rajang, akhirnya berjaya dikeluarkan petang tadi.
Mayat mangsa, seorang warga Indonesia yang hanya dikenali Ponsel, dikeluarkan jam 3.53 petang dengan dibantu sebuah lagi jengkaut untuk menstabilkan jentera berat yang menghimpit mangsa.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, usaha mengeluarkan mayat mangsa menghadapi kesukaran berikutan cuaca buruk dan jengkaut bantuan pula perlu membuat laluan sebelum sampai ke lokasi kejadian yang berada kira-kira 30 meter di dalam gaung.
“Sehinggalah jam 3.40 petang hari ini, pihak bomba menggunakan peralatan Road Traffic Accidents (RTA) khas untuk kerja mengeluarkan mangsa apabila keadaan jengkaut yang terbalik berjaya distabilkan,” katanya.
Sebelum ini, mangsa dilapor tersepit di bawah jentera berat itu yang terbalik dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang Khamis lalu.
Ketika kejadian, mangsa melakukan kerja meratakan tanah di kawasan itu untuk projek penanaman getah yang dilaksanakan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).
Jentera berat dikendalikannya dikatakan tiba-tiba menggelungsur sebelum terbalik ke dalam gaung sedalam kira-kira 30 meter.
Usaha mengeluarkan mayat sukar berikutan faktor hujan yang menyebabkan struktur tanah kawasan itu lembut.
Operasi mengeluarkan mayat mangsa membabitkan 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Belaga dibantu lima anggota dari BBP Bintulu.
Operasi turut disertai dua anggota polis dan tiga anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
3 hari usaha keluarkan mayat tersepit bawah jengkaut
DISYORKAN UNTUK ANDA :
- Pelupusan Hutang Felda: Muhyiddin Umum Tapi Tak Buat
- Jangan Di Pandang Sepi Peringatan Dari Yana Najib
LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :
Kenapa Sanusi Membisu Atas Dakwaan Amanah Kedah REE Masih Di Curi