Budak 5 tahun lemas di kolam mandi dewasa
Budak 5 tahun lemas di kolam mandi dewasa
SUNGAI BESAR: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun ditemui lemas ketika mandi di kolam renang rekreasi sebuah inap desa di Jalan Sungai Panjang di sini, semalam.
Kanak-kanak terbabit disahkan meninggal dunia ketika dibawa ke Klinik Kesihatan Merbau Berdarah.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Khalid Mohamad, berkata kejadian dilaporkan jam 5.05 petang ketika bapa mangsa yang berusia 36 tahun, membawa empat anaknya termasuk ke inap desa itu untuk mandi.
“Selesai mandi, pengadu keluar dari kolam kanak-kanak untuk membilas badan dan mendapati mangsa tiada di sisinya.
“Beliau bergegas mencari sebelum terdengar jeritan anak sulungnya berusia 12 tahun yang menemui mangsa di kolam dewasa dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Khalid berkata, bapa mangsa mengeluarkan anaknya yang tidak memakai pelampung dan cuba memberikan bantuan pernafasan.
“Melihat anaknya tidak sedarkan diri, lelaki itu membawanya ke Klinik Kesihatan Merbau Berdarah kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pembantu pegawai perubatan,” katanya.
Khalid berkata, mangsa adalah anak keempat daripada lima beradik dan keluarga itu tidak menginap di inap desa terbabit, sebaliknya hanya berkunjung untuk mandi di kolam.
“Kedalaman kolam renang dewasa berukuran 1.2 meter, manakala kedalaman kolam kanak-kanak 0.3 meter.
“Mayat mangsa berada di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam dan akan dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 31 (a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Budak 5 tahun lemas di kolam mandi dewasa
DISYORKAN UNTUK ANDA :
LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :