Floor 88 lapor polis, rugi RM2.6 juta

Kuala Lumpur: Kumpulan Floor 88 membuat laporan polis terhadap pemilik akaun yang didakwa menyebarkan karya telemovie mereka berjudul Bas Terakhir Malam Raya secara haram di Youtube.

Mewakili kumpulan itu Eric Fuzi ketika ditemui berkata, mereka terpaksa mengambil tindakan itu kerana ia menyebabkan kerugian besar kepada keseluruhan produksi syarikat.

“Anggaran kerugian adalah sekitar RM2.6 juta susulan penayangan telemovie itu di platform berkenaan secara percuma.



“Hari ini kami membuat laporan polis untuk pihak berkuasa dan agensi berkaitan mengambil tindakan kepada pemilik akaun terbabit yang dipercayai menggunakan nama Jari Hantu,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Travers, di sini, hari ini.

Difahamkan kes ini bukan hanya membabitkan satu akaun di Youtube, malah dua akaun yang lain dan juga di Telegram.

“Pada awalnya kami mengenal pasti akaun pertama yang memuat naik video itu dan terus membuat report (laporan) dan berjaya delete (hapus) sejurus laporan.

“Tetapi akaun kedua itu mengambil masa enam hari untuk delete,” katanya kepada Harian Metro.



Eric juga pemain keyboard kumpulan terbabit memberitahu mereka juga sudah membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Ayie yang juga vokalis Floor88 berkata pihaknya turut terkesan dengan kejadian yang berlaku ini.

“Kami ada tiga produksi, SilentKaiju Studio, MotioFixio Studio Sdn Bhd dan Floor 88 Holding sendiri. Jadi kami amat terkejut dengan apa yang berlaku ini.

“Saya harap si pelaku dikenakan balasan yang sepatutnya,” katanya.



Lebih menarik perhatian lagi, telemovie Bas Terakhir Malam Raya turut mendapat komen positif dan memberangsangkan daripada penonton di akaun Youtube itu.

Telemovie Bas Terakhir Malam yang mengisahkan perjalanan balik raya mula ditayangkan di Astro First sejak 21 April lalu. Selain Floor 88 sendiri, ia turut dibintangi Hawa Rizwana, Syasya Dolla, Amir Masdi, Datuk Syafinaz Selamat dan ramai lagi.

METRO




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading