Pelangai,antara politik kebajikan dan ‘air liur’, pilihan pengundi?
Oleh – Bakhtiar Omar
Pilihanraya Kecil (PRK) Pelangai telah disahkan SPR akan berlangsung dengan 3 calon bertanding pada 7 Oktober depan.
Fokus pengundi kini adalah memilih antara politik kebajikan dan politik ‘air liur’ untuk mewakili mereka di Dewan Undangan Negeri.
Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan Datuk Amizar Abu Adam, AJK Umno Bahagian Bentong sebagai calon. Merupakan anak Felda dan kini Bendahari Agung KAF (Kami Anak Felda), aktif dalam membantu generasi Felda itu sendiri.
Perikatan Nasional (PN) pula mengekalkan Kasim Samat sebagai calon. Pernah bertanding pada PRU15 bagi kerusi DUN Pelangai, Kasim merupakan generasi kedua Felda.
Manakala itu, calon bebas, Haslihelmy DM Zulhasli, merupakan bekas Pemuda Umno Bentong dan aktivis Pertubuhan Suara Anak Pahang.
- Jumlah pengundi DUN Pelangai – 16,456
- Statistik pengundi DUN Pelangai – 8,254 (lelaki), 8,202 (wanita)
- Pengundi muda 18-29 tahun seramai 3,728 orang
- Statistik 2022 – Pecahan mengikut Kaum – Melayu 72.13%, Cina 18.19%, India 5.71%, Lain lain 3.96%
Melihat kepada rekod 3 calon yang bertanding, pengundi DUN Pelangai diberikan pilihan yang untuk memilih dengan bebas. Apa yang perlu mereka fikirkan, siapa yang paling layak untuk membawa suara serta inspirasi ADUN sebelum ini, Allahyarham Dato Sri Johari Harun.
Mungkin bagi Perikatan Nasional (PN), ini merupakan masa dan peluang terbaik mereka merampas kedudukan DUN dari 17 menjadi 18 kerusi. Walau tidak mungkin dapat membentuk kerajaan di Pahang, kemenangan Pelangai memberi isyarat besar kepada semua bahawa Pahang sudah hampir dalam genggaman selepas Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.
KECEMERLANGAN BN URUS PAHANG DAN KEBAJIKAN RAKYAT TIDAK BOLEH DINAFIKAN
Namun demikian, hakikat sebenar yang perlu semua sedar termasuk seluruh negara, Barisan Nasional masih memegang rekod perkhidmatan kebajikan terbaik untuk rakyat termasuk Pahang.
Terbukti dengan kecekapan serta tadbirurus baik YAB Menteri Besar Pahang, Dato Sri Wan Rosdy Wan Ismail, Pahang kini antara negeri yang menghampiri angka 1 billion dalam kutipan hasil cukai serta simpanan negeri. Malah, hutang negeri juga telah menurun dengan drastik sejak 2018.
Apa yang dilakukan dengan lebihan wang yang diperolehi Pahang? Bantuan yang diperkenalkan oleh Wan Rosdy merupakan antara politk kebajikan yang diamalkan Barisan Nasional selama ini. Dari bayi yang baru lahir sehinggalah kepada warga emas Pahang, nasib mereka terbela selagi BN memerintah Pahang.
RAKYAT PERLU PEMBELAAN, BUKAN RETORIK POLITIK BERMUSIM DAN ‘AIR LIUR’
Rakyat perlu dibela kebajikan mereka dan bukannya hanya dicari dan dirayu ketika perlu kepada undi mereka sahaja. Pengundi patut sedar, nasib mereka sentiasa dijaga oleh parti yang mempunyai pengalaman selama 60 tahun mentadbir Malaysia.
Walau kini bukan lagi sebagai parti dominan dalam kerajaan, BN masih tetap meletakkan kepentingan rakyat sebagai perkara utama.
Perlukah pengundi atau rakyat kepada retorik politik bermusim dan politik ‘air liur’ yang hanya pandai menabur janji sahaja?
Usah ‘menipu’ rakyat kononnya akan membawa lebih banyak kemakmuran serta pembangunan ekonomi kepada rakyat sekiranya berubah dan mengikut trend gelombang yang berlaku pada PRN 6 Negeri lepas.
Hakikat sebenar perlu rakyat ketahui, selama ditadbir selain Barisan Nasional, tiada kemajuan atau pembangunan ekonomi yang boleh dibanggakan oleh negeri yang di tadbir parti lain.
Sudah tiba masanya pengundi menjadi bijak dan tahu membezakan antara realiti dan emosi ketika memangkah di kertas undi.
Selamat berkempen diucapkan kepada semua yang bertanding.