PMX Anwar Ibrahim perlu pasukan Kabinet lebih jitu

Oleh – Ku Zairi Ku Kamal


PMX Anwar Ibrahim perlu pasukan Kabinet lebih jitu

PMX Anwar Ibrahim perlu sebuah pasukan kabinet yang lebih jitu bagi menangani krisis keperluan serta inflasi yang melanda negara sekarang.



Tidak menafikan barisan kabinet sediada sebenarnya boleh dianggap baik, namun kritikan terhadap kelemahan Kabinet mahupun Kerajaan Perpaduan tetap timbul.

Dari segala keperluan rumah sehingga keperluan ekonomi negara, pihak tertentu mengambil kesempatan bagi mempengaruhi minda rakyat untuk percaya Kerajaan Perpaduan tidak prihatin terhadap permasalahan yang dihadapi rakyat.

Kelemahan sesebuah kabinet hanya boleh ditangani dengan rombakan, namun semua faham, bagi mengubah posisi kabinet pertimbangan politik perlu diambil kira.

Nampak macam mudah tetapi untuk menyusun atur kedudukan dengan berdasarkan kemampuan, kebolehan serta pengalaman seseorang yang dilantik sebagai Menteri, keutuhan Kerajaan Perpaduan juga perlu diberikan perhatian.



Ia membabitkan sokongan terhadap PMX Anwar Ibrahim serta Kerajaan Perpaduan sedia ada. Sekiranya tidak dicatur dengan baik, kemungkinan runtuhnya sesebuah kerajaan tidak dapat dielakkan.

Jika itu berlaku, negara belum tentu lagi dapat bangkit selama 5 tahun apabila polisi dan dasar kerajaan berubah mengikut siapa yang punyai sokongan dalam Parlimen.

Pengalaman sejak 2018 – 2022 sudah cukup memberi pengajaran buat semua pihak termasuk PMX Anwar Ibrahim. Biarpun kini beliau membentuk kerajaan bersama Barisan Nasional serta GPS, GRS dan lain-lain parti, ia tidak semestinya tidak boleh terungkai.

Lihat sahaja kepada komitmen Perikatan Nasional yang cukup nekad mahu mengubah kerajaan. Desas-desus ada menyatakan mereka (PN) sanggup mengambil risiko besar hanya untuk mencari 112 sokongan bagi menukar kerajaan sediada.



CUKUPLAH RETORIKA POLITIK, TUMPU KEPADA PEMBANGUNAN EKONOMI NEGARA SERTA POKET RAKYAT

PMX Anwar Ibrahim perlu pasukan Kabinet lebih jitu
Foto Hiasan

Kejatuhan kerajaan, pertukaran Perdana Menteri serta dasar telah menyebabkan pelabur berfikir 10 kali sebelum melabur dalam negara berikutan ketidakstabilan politik yang boleh menjejaskan ekonomi sesebuah negara.

Bukan hanya negara bermasalah, rakyat turut menerima nasib sama apabila peluang pekerjaan semakin terhad. Malah, unjuran miskin bandar telah dinaikkan sehingga RM3,000 kerana faktor peningkatan harga keperluan asas serta keperluan lain.

Malah rakyat turut dimomokkan dengan kenaikan mendadak makanan ruji – nasi, apabila harga beras semakin tidak masuk akal. Untuk mendapat bekalan beras sahaja sudah menyusahkan rakyat apatah lagi untuk rakyat menganggung kenaikan harga tersebut.

ROMBAKAN KABINET PERLU DISEGERAKAN PMX SELEPAS PULANG DARI DUBAI

PMX Anwar Ibrahim perlu pasukan Kabinet lebih jitu
Foto Hiasan

Sebagai Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sedar beliau tidak mampu untuk bertindak sebagai ‘one man show’, oleh demikian, beliau memerlukan Timbalan Perdana Menteri serta Menteri yang mampu bertindak dengan lebih efisien.



Samada sedia atau tidak, PMX perlu untuk mengkaji semula peranan Menteri di portfolio masing-masing. Jika kurang efisien eloklah direhatkan dan naikkan yang mana berkemampuan membantu beliau mengurustadbir negara dengan lebih baik.

Rakyat perlukan sebuah kerajaan yang baik bagi mencapai maksud Kerajaan MADANI. Anwar perlu BERANI mengambil risiko biarpun tindakan itu tidak popular untuk karier politiknya.

Moga PMX Anwar Ibrahim dapat ilham selepas pulang dari Dubai nanti.

 



 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button