Seorang maut dalam nahas babit empat kenderaan
Seorang maut dalam nahas babit empat kenderaan
HULU SELANGOR: Seorang pemandu lori maut, manakala isterinya terselamat selepas terbabit dalam nahas empat kenderaan di Kilometer 406.7 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke selatan, petang tadi.
Difahamkan, lori dinaiki pasangan suami isteri masing-masing berusia 34 dan 32 tahun itu membawa muatan makanan sejuk beku.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata pihaknya menerima panggilan jam 6.40 petang.
Beliau berkata, sepasukan 14 pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa dengan bantuan BBP Tanjung Malim dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Menurut laporan awal, kemalangan membabitkan empat kenderaan iaitu lori Nissan UD, Proton X70, Proton X50 dan pikap Ford Ranger.
“Mangsa wanita tidak mengalami kecederaan, namun suaminya tersepit di tempat duduk pemandu lori,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Ahmad Mukhlis berkata, mangsa membabitkan kenderaan lain dilaporkan selamat.
“Pemandu lori Nissan UD itu disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk tindakan lanjut,” katanya.