Muhyiddin bakal jadi Presiden ‘Geng Takut Bini’?
Oleh – Bakhtiar Omar
Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membuat kejutan tidak pertahankan jawatan Presiden BERSATU kini dikatakan bakal menjadi Presiden ‘Geng Takut Bini’.
Netizen menjadikan pusingan U yang dibuat Muhyiddin atas permintaan isteri beliau agar mengetuai BERSATU untuk tempoh satu penggal lagi sebagai bahan lelucon di media sosial.
Selaku bakal Presiden ‘GTB’, Muhyiddin kelihatan hanya akan mematuhi ‘perintah’ isteri berbanding permintaan ahli parti yang menolak cadangan awal beliau.
Dalam pada pusingan ‘U’ yang dilakukan Muhyiddin, sudah pasti ada pihak yang kecewa dengan keputusan yang dibuat Muhyiddin.
Walau cuba dinafikan, krisis dalaman BERSATU sudahpun meledak ‘baunya’. Ada persiapan mengambil alih kepimpinan terpaksa di rombak semula berikutan keputusan mengejut Muhyiddin.
Riak wajah Presiden BERSATU itu jelas menampakkan beliau tahu siapa yang tidak sabar mengusir beliau dari jawatan, cuma masih enggan mengakuinya.
Ini antara krisis paling serius perlu dihadapi BERSATU selepas Tun Mahathir melepaskan jawatan beliau dalam parti itu kerana ‘Sheraton Move’.
Apa perancangan sebenar Muhyiddin apabila mengumumkan tidak pertahankan jawatan Presiden? Ada pendapat menyatakan beliau sengaja mahu menguji ahli parti terutama yang tidak sabar untuk menumbangkannya dalam pemilihan kelak.
Tidak menolak ada kemungkinan jawatan Presiden dicabar, jawatan Timbalan Presiden juga berada dalam radar untuk pertukaran.
Serangan bertali arus terhadap Timbalan Presiden BERSATU datang dari dalam parti itu sendiri. Ini adalah kerana gandingan Presiden dan Timbalannya agak kuat dan sukar untuk menumbangkan Presiden sekiranya Timbalan masih kekal individu yang sama.
Dalam satu wawancara, Muhyiddin memberi bayangan serta amaran kepada individu tertentu sekiranya mahu mencabar kedudukan beliau selaku Presiden.