Undang-undang diperlukan untuk memartabatkan Bahasa Melayu

 

Oleh : Pena Merah

Sokongan undang-undang diperlukan dalam usaha memartabatkan Bahasa Melayu

KEBENARAN penterjemahan sesuatu tulisan atau dokumen rasmi bahasa Melayu kepada bahasa lain menjadi isu yang menjejaskan usaha pemartabatan bahasa kebangsaan hingga kerangka perundangan sedia ada dianggap masih lagi tidak menyebelahi pengukuhannya terutama dalam kalangan rakyat tanpa mengira kaum.



 

Perlembagaan Persekutuan meletakkan kerangka asas perundangan kepada bahasa kebangsaan. Selain itu, dalam kerangka perundangan negara, terdapat Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 menjadi undang-undang utama berkenaan bahasa kebangsaan.

Ada juga beberapa akta lain, juga berkaitan bahasa Melayu seperti Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) dan Akta Dewan Bahasa 1959 (Disemak 1978) (Akta 213). Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu dalam pendidikan, manakala Akta Dewan Bahasa 1959 (Disemak 1978) (Akta 213) pula menyatakan hal berkaitan kedudukan, amalan atau pemakaian bahasa Melayu, termasuk hal berkaitan tulisan.

Kita perlu melihat ke belakang juga mengapakah bahasa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan? Pendeta Za’ba dalam tulisannya bertajuk ‘Bahasa Kebangsaan Malaya Sa-Lepas Merdeka’ menghujahkan enam sebab mengapa bahasa Melayu dipilih menjadi bahasa kebangsaan bagi Persekutuan Tanah Melayu merdeka.



Sebab itu ialah Tanah Melayu ialah negeri orang Melayu; bahasa Melayu ialah bahasa tulen negeri ini; bahasa Melayu adalah bahasa perantaraan negeri ini; bahasa Melayu adalah bahasa hidup dan berkembang mengikut peredaran zaman; bahasa Melayu menjadi bahasa republik Indonesia dan bahasa Melayu adalah bahasa mudah.

Laporan Suruhanjaya Reid, pada perenggan 170 menyatakan beberapa perkara, iaitu hanya bahasa Melayu yang hendaklah dijadikan bahasa rasmi, manakala bahasa Inggeris diteruskan sebagai bahasa rasmi sekurang-kurangnya untuk 10 tahun selepas merdeka. Selepas 10 tahun, Parlimen boleh menentukan masa untuk perubahan.

Suruhanjaya Reid juga mendapati, sebelum merdeka, dokumen rasmi diterjemahkan ke bahasa Inggeris, Melayu, Cina dan India. Hal itu perlu diteruskan untuk satu tempoh agak lama.

Dalam Perkara 152 Perlembagaan, bahasa Melayu diisytiharkan sebagai bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi. Peruntukan ini juga menjamin kebebasan pembelajaran dan penggunaan bahasa lain selain bahasa Melayu, kecuali dalam tujuan rasmi. Dalam apa juga urusan rasmi, bahasa Melayu hendaklah digunakan.



Definisi perkataan ‘rasmi’ dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan melalui pindaan pada 1971, iaitu pindaan Perlembagaan dibuat selepas tragedi 13 Mei 1969.

Seksyen 2 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 memperuntukkan ‘mana-mana bahasa lain dan bahasa mana-mana kaum lain dalam Malaysia bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud-maksud rasmi.’

Namun, terjemahan dokumen rasmi dibenarkan Seksyen 3 Akta Bahasa Kebangsaan demi kepentingan awam.

Walau apapun dalam Seksyen 3 ini, persoalan timbul ialah adakah masyarakat awam hingga kini masih tidak dapat memahami (kalaupun bukan menguasai) bahasa kebangsaan?



Satu lagi peruntukan perlu dikaji semula ialah Seksyen 4 Akta Bahasa Kebangsaan. Seksyen 4 menyatakan ‘Yang di-Pertuan Agong boleh membenarkan penggunaan bahasa Inggeris dilanjutkan bagi apa-apa maksud rasmi sebagaimana yang difikirkan patut.’

Bagi mengukuhkan kedudukan bahawa Melayu, Seksyen 4 ini perlu dimansuhkan dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Bahasa Melayu dalam badan perundangan

Penggunaan bahasa Melayu dalam badan perundangan hendaklah juga diperkukuh dengan mewajibkan penggunaan bahasa Melayu kecuali dalam keadaan tidak dapat dielakkan. Begitu juga dengan penggunaan bahasa Melayu di mahkamah.



Hakim hendaklah boleh menulis alasan penghakiman dalam bahasa Melayu dengan baik, manakala peguam juga hendaklah dapat menulis dan membentangkan hujahan mereka dalam bahasa Melayu yang baik.

Perbahasan berkenaan mengesahkan terjemahan Perlembagaan Persekutuan kepada bahasa Melayu sebelum ini hendaklah diteruskan dan tindakan hendaklah dilaksanakan pihak berwajib dengan segera.

Berkenaan tulisan bagi bahasa Melayu, Seksyen 9 Akta Bahasa Kebangsaan menyediakan peruntukan berikut: ‘Tulisan bagi bahasa kebangsaan ialah tulisan Rumi; dengan syarat bahawa ini tidak melarang penggunaan tulisan Melayu, yang lebih dikenali dengan nama tulisan Jawi, bagi bahasa kebangsaan.’

Akta Pendidikan adalah juga undang-undang sering dirujuk dalam perbincangan bahasa kebangsaan. Akta ini menyatakan pada Seksyen 17 bahawa bahasa Melayu adalah bahasa pengantar utama. Maksudnya, bahasa Melayu bukan satu-satunya bahasa pengantar.



Sementara itu, Seksyen 28 pula memberikan kuasa kepada menteri untuk penubuhan sekolah jenis kebangsaan yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama.

Akta pendidikan juga membenarkan penggunaan bukan bahasa kebangsaan pada peringkat tadika. Perkara ini dinyatakan dalam Seksyen 23: ‘Bahasa-bahasa selain daripada bahasa kebangsaan boleh digunakan sebagai bahasa pengantar di tadika, tetapi jika sesuatu tadika menggunakan bahasa selain daripada bahasa kebangsaan, bahasa kebangsaan hendaklah diajarkan sebagai mata pelajaran wajib.’

Jelas di sini bahasa Melayu, walaupun dijamin kedudukannya dalam Perlembagaan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, kerangka undang-undang didapati dalam akta yang berkaitan belum lagi mampu mengukuhkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi.

Ini kerana penggunaan bahasa lain, walaupun tidak diwajibkan, tetapi ia dibenarkan. Kebenaran menggunakan bahasa lain selain bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi akan melambatkan penerimaan dan pemakaian bahasa kebangsaan dalam kalangan warganegara.

Penggunaan bahasa lain dalam urusan rasmi juga menyumbang kepada kurangnya penghayatan kepada kedudukan bahasa Kebangsaan.

Aspirasi atau matlamat bahasa kebangsaan tidak mudah untuk dicapai sekiranya sokongan undang-undang tidak diperkukuh. Justeru, antara lain adalah dicadangkan beberapa bagi pengukuhan kedudukan dan amalan bahasa kebangsaan

Pertama, tidak lagi membenarkan terjemahan dokumen rasmi kepada bahasa lain.

Kedua, mengkaji semula penggunaan bahasa selain daripada bahasa kebangsaan dalam institusi pendidikan tadika, rendah dan menengah serta pendidikan tinggi (kecuali sesetengah kursus yang perlu diperinci).

Ketiga, terjemahan Perlembagaan Persekutuan ke dalam bahasa kebangsaan perlu diusahakan secara bersungguh-sungguh.

Keempat, penggunaan bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi dalam prosiding mahkamah perlu dipertingkatkan, manakala hakim hendaklah diwajibkan menulis penghakiman dalam bahasa Melayu;

Kelima, penggunaan bahasa kebangsaan/bahasa rasmi dalam prosiding Parlimen.

Keenam, penggunaan tulisan jawi dalam penulisan urusan rasmi bagi institusi Islam.

Penulis adalah Pensyarah Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Sumber – Berita Harian


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading