Penggal tetap Kerajaan 5 tahun

Oleh – Syeikh Baran


Penggal tetap Kerajaan 5 tahun

Angkatan Wanita AMANAH Negara (AWAN) mencadangkan kerajaan supaya mengkaji cadangan mewujudkan penggal tetap Parlimen bagi menjamin kepimpinan kerajaan untuk tempoh lima tahun yang dipilih melalui Pilihan Raya Umum (PRU).



Ketua AWAN, Datuk Aiman Athirah Sabu, berkata walaupun wujud Akta Anti Lompat Parti bagi menghalang Ahli Parlimen bertukar parti yang boleh memberi kesan kepada kedudukan kerajaan, pelbagai cara masih dilakukan pembangkang, terbaru dakwaan wujudnya 120 Akuan Bersumpah (SD) untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Jika boleh, wujudkan (dasar) penggal tetap untuk Parlimen, maknanya setiap kali PRU, kepimpinan kerajaan itu memang untuk lima tahun.

“Saya cadangkan kerajaan supaya kerajaan mengkaji cadangan ini, mungkin Datuk Seri Azalina Othman (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi)) boleh membawa cadangan ini supaya ia memberi lebih ketenangan dan kestabilan kepada politik negara kita,” katanya.

Aiman Athirah yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat AWAN di Wisma AMANAH Negara di sini, hari ini.



Beliau ditanya mengenai cadangan supaya diadakan usul undi percaya kepada Anwar di Parlimen bagi membuktikan sokongan kukuh Ahli Parlimen kepada kepemimpinan Anwar.

Cadangan supaya kerajaan mewujudkan dasar penggal tetap Parlimen pernah disuarakan sebelum ini,yang menentukan tarikh PRU secara automatik selepas genap mandat lima tahun bagi sesebuah kerajaan.

Ia bagi memastikan sesebuah kerajaan yang dibentuk selepas pilihan raya, dapat mengekalkan mandat rakyat selama lima tahun tanpa sebarang gangguan.

Mengulas lanjut, Aiman Athirah yakin, jika diadakan sekali lagi undi percaya, Anwar akan tetap mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.



“Selain itu, saya percaya, pembangkang ini hanya mencuba nasib untuk menjatuhkan kerajaan.

Pendirian Yang di-Pertuan Agong tegas

 

“Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sudah menyatakan pendirian sangat tegas mengenai perkara ini dan saya lebih yakin, Yang di-Pertuan Agong akan datang akan menyatakan perkara sama supaya berlaku kestabilan politik dan diberikan peluang kepada Perdana Menteri sedia ada untuk meneruskan tugas,” katanya.

Sementara itu, Aiman Athirah memaklumkan, AWAN akan memberi tumpuan kepada pendaftaran sayap itu di lebih banyak kawasan, terutama di Sabah dan Sarawak.



“Di Semenanjung, kita sudah ada di 138 kawasan dan ada banyak lagi kawasan yang menjadi prospek kita, tapi Sabah dan Sarawak menjadi keutamaan.

“Tugas kita bukan hanya untuk menarik lebih ramai ahli, termasuk wanita tetapi memposisikan mereka di peringkat pembuat keputusan,” katanya.

Beliau turut mengumumkan anggota bagi jawatankuasa AWAN penggal 2023-2026, selepas pemilihan parti itu pada Disember lalu.

Sumber – Berita Harian




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading