Tutup ruang, Akta lompat parti akan diperhalusi

Oleh – Syeikh Baran


Tutup ruang, Akta lompat parti akan diperhalusi

Negara memulakan langkah awal pada tahun baharu 2024 dengan muncul spekulasi wujud gerakan pembangkang untuk menumbangkan kerajaan menerusi ‘Langkah Dubai’. Spekulasi terbaharu ini mengocakkan semula ketenangan permukaan politik negara terutama selepas setahun Kerajaan Perpaduan memerintah.



Soalnya, sampai bila kekalutan politik ini akan berterusan. Kekalutan politik ini mula membahang apabila ada pihak menjaja konsep kerajaan ‘tebuk atap’ selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang mana Barisan Nasional (BN) tumbang dan Pakatan Harapan (PH) naik menjadi kerajaan.

Pasca PRU14, rakyat menyaksikan tiga kerajaan berbeza wujud dalam tempoh sepenggal. PRU14 melakar sejarah baharu politik negara apabila sistem kepartian negara dilihat mampu beralih kepada sistem dua parti yang mana terdapat keseimbangan dan peluang cerah untuk menang bagi kedua-dua blok atau gabungan bertanding.

Namun, kerajaan diterajui PH tidak bertahan lama apabila ‘Langkah Sheraton’ mengubah realiti politik negara. PH ditunjuk jalan keluar tanpa melalui proses pilihan raya dan digantikan dengan parti Perikatan Nasional (PN). Semenjak itu, gelagat melompat dan mengkhianati parti menjadi barah dalam politik Malaysia.

Namun inikah kesan dialami negara apabila rakyat menggunakan hak mereka untuk mengundi ini kepada kestabilan kerajaan waktu ini. Jelas, fenomena baharu ini seperti menjadi normalisasi seperti dapat dilihat di negara jiran dan ia jelas menggugat kestabilan politik dan pembangunan negara.



Parti atau gabungan yang tidak mendapat majoriti kukuh akan memberi kesan kepada kestabilan pemerintahan kerajaan semasa. Kerajaan tidak stabil akan menyebabkan timbul keraguan terhadap sokongan di dalam Parlimen seterusnya undi tidak percaya boleh diusulkan.

‘Kerajaan tebuk atap’ atau ‘pintu belakang’ seolah-olah menjadi kebiasaan bagi parti tidak berpuas hati dengan kemenangan parti dipilih sebagai kerajaan. Kini Langkah Dubai menjadi bualan orang ramai. Konspirasi ini dikatakan dirancang PN bagi menjatuhkan kerajaan sedia ada.

Dinyatakan juga bahawa surat akuan bersumpah (SD) berjaya dikumpulkan untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong. Ini bakal membuka kepada perdebatan dan membangkitkan rasa kurang senang orang awam dengan bertanya apa hendak jadi dengan politik Malaysia.

Ini bukan kali pertama. Langkah Sheraton adalah konspirasi seumpamanya berlaku pada 2020 dan mengubah tampuk kepimpinan negara, mencipta ketidaktenteraman politik dan terjadinya tiga kali pertukaran Perdana Menteri.



 Rakyat jadi mangsa 

Sampai bila politik negara akan diwarnai permainan politik tidak matang ini. Apa yang pasti, rakyat akan menjadi mangsa. Adakah pemilihan kerajaan di negara ini hanya untuk meyakinkan dunia dan mengaburi mata rakyat kononnya Malaysia negara demokrasi, namun sebenarnya politik ini dipermain elit parti tertentu.

Walaupun secara Perlembagaan diterima, namun langkah tumbang kerajaan ini sebenarnya tidak diperlukan. Sikap pentingkan diri dan gila kuasa ini dilihat sangat tidak sihat kepada sistem pentadbiran negara. Sistem pilihan raya dilihat tidak memberikan apa-apa makna kepada politikus apabila mereka sewenang-wenangnya menukar sokongan atau parti bagi memenuhi kepentingan peribadi.

Keadaan ini sebenarnya membawa natijah tidak sihat kepada generasi muda. Generasi muda akan luntur semangat melihat politiking tidak berpenghujung selepas kerajaan berdiri.



Bukan hanya percaturan politik dalam kalangan parti politik berbeza, malah konflik dalaman parti juga menyumbang kepada kegawatan politik negara. Rakyat muak dengan figura politik semakin alpa dan kemaruk kuasa.

Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti sudah diwartakan pada 6 September 2022 dan berkuat kuasa pada 5 Oktober 2022 namun belum menjadi penawar terbaik untuk menyembuhkan penyakit perebutan kuasa ini.

Namun tiada undang-undang sempurna. Selepas hampir dua tahun berlalu, akta ini seperti tidak dapat membendung sikap kemaruk orang politik untuk merampas kuasa.

Bermakna, beberapa kelompangan perlu diperbaiki bagi mengelakkan berlakunya kecelaruan dalam politik negara, seperti memberikan sokongan kepada parti lawan tanpa keluar parti. Jelas sekali, akta ini perlu diperhalusi semula tanpa prejudis bagi menangani politiking tidak berkesudahan terutama gerakan menumbangkan kerajaan.



Penulis adalah Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seremban

Sumber – Berita Harian

 
 




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading