Tiada pembalakan Hutan Simpan Ulu Muda

Oleh – Syeikh Baran


Tiada pembalakan Hutan Simpan Ulu Muda
Kumpulan alam sekitar RimbaWatch mendakwa kegiatan pembalakan di kawasan Hutan Simpan Ulu Muda menyebabkan kawasan Empangan Muda yang menjadi sumber air utama kepada pengguna Pulau Pinang dan Kedah, mengalami masalah mendapan selut. – Foto NSTP/Ihsan RimbaWatch

Kerajaan negeri menafikan terdapat aktiviti pembalakan di kawasan Hutan Simpan Ulu Muda seperti yang didakwa kumpulan alam sekitar bahawa berlaku mendapan selut di Tasik Muda akibat kegiatan berkenaan.

EXCO Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar negeri, Mohamad Yusoff@Munir Zakaria, berkata kawasan itu merupakan kawasan hutan perlindungan yang menjadi Hutan Tadahan Air.



“Tiada pembalakan dalam kawasan Hutan Perlindungan (Hutan Tadahan Air) di Hutan Simpan (HS) Ulu Muda.

“Siasatan perlu dilakukan selain mereka perlu memberikan di mana lokasi tepat pembalakan itu seperti yang didakwa mereka,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohamad Yusoff@Munir merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang ini berkata, kenyataan itu seolah-oleh sengaja dibuat untuk menyerang Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan pentadbiran negeri Kedah.

Muhammad Sanusi sebelum ini berkata, Kedah melakukan banyak pengorbanan untuk mengekalkan kawasan tadahan, khususnya Hutan Simpan Ulu Muda seluas 163,000 hektar, selain kawasan lembangan Sungai Muda yang tidak boleh dibangunkan sama sekali.



Kerajaan negeri menuntut Pulau Pinang membayar caj air selepas mendapat pelbagai manfaat daripada pengorbanan Kedah namun sehingga kini ia tidak dilakukan kerajaan Pulau Mutiara itu.

Semalam media melaporkan, Rimba Watch mendakwa kegiatan pembalakan di kawasan Hutan Simpan Ulu Muda menyebabkan Tasik Muda, yang menjadi sumber air utama kepada pengguna Pulau Pinang dan Kedah, mengalami masalah mendapan selut.

Kajian yang dilakukan melalui pemantauan imej satelit mendapati Tasik Muda mula mengumpul mendapan selut sejak Mac tahun lalu, dan mendapan didapati semakin membesar pada Oktober lalu.

Masalah itu dijangka akan menjejaskan kira-kira 80 peratus sumber air ke Pulau Pinang yang bergantung sepenuhnya kepada bekalan dari kawasan tadahan Ulu Muda yang mengalir melalui Sungai Muda.



Sumber – Berita Harian

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button