Serang balai polis, Vietnam penjara 100 individu

Oleh – Syeikh Baran


Serang balai polis, Vietnam penjara 100 individu
Central Highlands Vietnam telah lama menjadi tumpuan rasa tidak puas hati terhadap isu termasuk hak tanah. – Foto AFP

Vietnam memenjarakan hampir 100 individu atas tuduhan keganasan susulan serangan tembakan tahun lalu ke atas ibu pejabat polis di Central Highlands yang mengakibatkan sembilan orang terbunuh, menurut media kerajaan hari ini.

Penyerang bermotosikal menyerbu pejabat polis dan politik di wilayah Dak Lak pada Jun tahun lalu dalam insiden keganasan yang jarang berlaku di Vietnam.



VNExpress melaporkan, pada akhir prosiding perbicaraan lima hari itu, 10 defendan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, sementara 90 yang lain dijatuhi hukuman antara sembilan bulan hingga 20 tahun penjara.

Dari segi pertuduhan, 98 individu didakwa melakukan keganasan, seorang menyembunyikan penjenayah dan seorang membawa masuk pendatang tanpa izin.

Kesemuanya adalah kumpulan etnik minoriti yang berasal dari Central Highlands dan mahkamah menuduh mereka berusaha untuk ‘mencetuskan huru hara dalam negeri’.

Umur kesemua mereka adalah antara 18 hingga 56 tahun.



Enam defendan berstatus pelarian dan dibicarakan tanpa kehadirannya. Waran tangkap antarabangsa juga sudah dikeluarkan ke atas mereka.

VNExpress memetik keputusan penghakiman itu sebagai berkata, defendan menyertai kumpulan Dega Askar pada awal Jun 2023, berkumpul di dalam hutan untuk latihan separa tentera, termasuk seni mempertahankan diri dan membuat bom.

“Kes itu amat serius, dengan pengganas bertujuan untuk mencetuskan huru hara dalam negeri, untuk menubuhkan apa yang dipanggil negara Dega,” menurut kenyataan penghakiman itu.

Mahkamah memutuskan kebanyakan defendan tidak mempunyai kefahaman yang memaksa mereka melakukan jenayah itu, sambil menyalahkan kumpulan penentang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) kerana cuba mengancam atau memaksa mereka melakukan serangan.



Dega adalah salah satu kumpulan etnik minoriti dari Central Highlands Vietnam, kawasan sudah lama menjadi sarang kepada rasa tidak puas hati berhubung pelbagai isu termasuk hak tanah.

Pihak berkuasa komunis merujuk kepada pengikut Protestantisme di Central Highlands sebagai ‘Dega Protestant’, kumpulan yang mencari autonomi di negeri itu dan dikaitkan dengan kumpulan politik buangan, Montagnard di AS.

Montagnards, istilah yang merujuk pelbagai puak di kawasan itu yang memihak kepada AS ketika perang Vietnam selama beberapa dekad. Ada juga yang meminta lebih banyak autonomi, sementara yang lain di luar negara menyokong kemerdekaan kepada rantau berkenaan.

Selepas kejadian maut itu, polis berkata mereka merampas sejumlah 23 senjata api dan senapang, dua bom tangan, lebih 1,000 peluru dan bahan letupan lain.



Individu tidak dibenarkan memiliki senjata api di Vietnam dan keganasan senjata api amat jarang berlaku. – AFP

Sumber – Berita Harian


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading