Cubaan menyeludup petrol di Sabah ditumpaskan

Oleh – Syeikh Baran


Cubaan menyeludup petrol di Sabah ditumpaskan
TIGA bot pam membawa muatan 44 tong dram berisi petrol dirampas APMM di perairan Pitas. FOTO Ihsan APMM

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia menggagalkan cubaan menyeludup keluar minyak petrol selepas menahan tiga bot pam di selatan Tanjung Pegasan, Pitas, dekat sini pagi semalam.

Pengarah APMM Zon Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata ketiga-tiga bot berkenaan yang membawa 44 tong ditemui terapung tanpa pengendali.



Katanya, mereka dipercayai melarikan diri selepas menyedari kehadiran pegawai penguatkuasa berkenaan di kedudukan 0.3 dan 0.2 batu nautika jam 5.30 pagi.

“Keseluruhan nilai rampasan termasuk bot dianggarkan bernilai hampir RM70,000,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Maurice berkata terdahulu sebuah bot ronda Zon Maritim Kudat yang sedang menjalankan rondaan Op Pluto Timur digerakkan ke lokasi yang diarahkan sejurus mendapat maklumat perisikan.

“Sebaik tiba lokasi berkenaan, anggota APMM mendapati terdapat tiga bot terapung tanpa pengendali, dipercayai melarikan diri selepas menghidu kehadiran penguatkuasa APMM.



“Ketiga-tiga bot berkenaan seterusnya dirapati untuk pemeriksaan. Didapati bot pertama membawa muatan 12 tong berisi petrol manakala 24 lagi di bot kedua.

“Pemeriksaan ke atas bot ketiga turut membawa kepada penemuan lapan tong, juga berisi minyak petrol,” katanya.

Maurice berkata ketiga-tiga bot berkenaan disyaki cuba melakukan aktiviti penyeludupan minyak petrol dari perairan Pitas ke Pulau Mangsi, Filipina.

Katanya, bot dan barang rampasan seterusnya dibawa ke jeti Marina, Kudat dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan selanjutnya.



“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2022,” katanya.

Sumber – Berita Harian
 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button