5 gadis yang diculik berjaya diselamatkan

Oleh – Syeikh Baran


5 gadis yang diculik berjaya diselamatkan
Lima beradik perempuan Nigeria yang diculik berjaya diselamatkan selepas penculikan mereka. – Foto AGENSI

Lima beradik perempuan Nigeria yang diculik berjaya diselamatkan selepas penculikan mereka serta kematian seorang daripadanya mencetuskan bantahan awam, menurut polis hari ini.

Keluarga itu sebelum ini memberitahu, lima ahli keluarganya diculik awal bulan ini oleh lelaki bersenjata yang menceroboh masuk ke kediaman mereka, kira-kira 25 kilometer dari pusat bandar Abuja.



Kumpulan itu dilapor membunuh seorang adik perempuan, Nabeeha Al-Kadriyar, 21 tahun, selepas tempoh penyerahan wang tebusan berakhir.

Polis Persekutuan Wilayah Ibu Kota (FCT) dan tentera berjaya menyelamatkan gadis berkenaan pada Sabtu malam di hutan Kajuru di negara jiran, Kaduna.

“Polis FCT menyelamatkan mangsa dan menyatukan semula mereka dengan keluarganya,” menurut satu kenyataan oleh polis.

 

Penculikan bagi menuntut wang tebusan adalah masalah utama dihadapi Nigeria, dengan kumpulan penjenayah menyasarkan lokasi seperti lebuh raya, pangsapuri dan murid sekolah.



Kumpulan itu sering beroperasi di hutan di barat laut dan wilayah tengah.

Selepas kemarahan orang ramai terhadap kes penculikan adik-beradik itu, Presiden, Bola Ahmed Tinubu turut mengutuk serangan dan penculikan itu.

Tinubu berjanji untuk menangani kebimbangan rakyatnya berkaitan keselamatan mereka sejak memegang jawatan pada Mei tahun lalu.

Sesetengah pakar percaya keadaan ekonomi negara mendorong peningkatan kes penculikan apabila warga Nigeria yang terdesak beralih melakukan jenayah untuk memperoleh pendapatan.



Undang-undang Nigeria melarang membayar tebusan kepada penculik, namun banyak keluarga kurang percaya kepada pihak berkuasa, selain merasakan mereka tidak mempunyai pilihan.

Penculikan 276 pelajar perempuan dari Chibok di timur laut Nigeria oleh pejuang Boko Haram menjadi tajuk utama berita global pada 2014, namun kes penculikan kecil masih berlaku setiap hari. – AFP

Sumber – Berita Harian




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading