Terjun tingkat 16 elak ditangkap polis

 

Oleh – Syeikh Baran


Terjun tingkat 16 elak ditangkap polis
MAYAT seorang lelaki warga Nigeria ditemukan tingkat dua sebuah kondominium di Batu Uban, Gelugor selepas terjun dari tingkat 16 dipercayai melarikan diri dari polis. FOTO Ihsan JBPM

Lelaki warga Nigeria maut selepas terjun dari tingkat 16 sebuah kondominium di Batu Uban, Gelugor di sini, dipercayai cuba melarikan diri ketika serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, malam tadi.

Lelaki berusia 37 tahun yang juga penuntut sebuah kolej swasta itu ditemukan di koridor tingkat dua kondominium berkenaan.



Ketua Polis Daerah Timur Laut, kepada Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, dalam serbuan kira-kira 6 petang, pintu rumah berkenaan dibuka oleh seorang lelaki namun dia masuk semula ke dalam rumah selepas menyedari kehadiran polis lalu mengunci pintu.

“Susulan itu, polis terpaksa memecahkan pintu sebelum menahan seorang lelaki warga Nigeria.

“Berikutan wajah individu yang membuka pintu dengan lelaki yang ditahan itu tidak sama, pasukan polis membuat pemeriksaan lanjut di rumah berkenaan sebelum menemukan mayat seorang lelaki dalam keadaan terbaring di tingkat bawah.

“Kita juga menemukan seorang lagi suspek lelaki warganegara sama di tingkat lapan kondominium berkenaan,” katanya di sini.



Razlam berkata, pemeriksaan dalam unit rumah itu menemukan sejumlah dadah jenis syabu dan pil ekstasi.

“Jumlah kesemua dadah itu masih lagi dalam siasatan polis.

“Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) manakala dua lagi suspek disiasat mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya,” katanya.

Sementara itu Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak Fauzian Izzuan Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan jam 9.21 malam bagi tugas khas menurunkan mayat di koridor tingkat dua kondominium itu.



“Enam anggota terbabit membawa turun mayat. Ia kemudian dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) sebelum kes diserah kepada polis bagi tindakan lanjut dan operasi tamat jam 9.31 malam,” katanya ketika dihubungi di sini.

Sumber – Harian Metro

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button