Berhenti beri tekanan kepada Kedah

Oleh – Syeikh Baran


Berhenti beri tekanan kepada Kedah
Muhammad Sanusi (berdiri, dua dari kiri) menyaksikan Majlis Menandatangani MoU antara BDB dengan Shanghai Youzhu) di sebuah hotel di Alor Setar, hari ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor meminta pihak tertentu supaya berhenti memberi tekanan kepada negeri ini.

Beliau pada masa sama menyeru lebih banyak kerjasama daripada agensi Persekutuan dalam menarik pelaburan ke Kedah.



Menurut Muhammad Sanusi, tekanan yang diberikan terutama dengan menggembar-gemburkan isu-isu utiliti seperti air dan elektrik sama sekali tidak membantu sektor pelaburan.
 

“Saya berterima kasih kepada agensi Persekutuan yang menghulurkan khidmat bantuan untuk memudahkan lebih banyak pelabur ke Kedah. Saya juga menyeru lebih banyak kerjasama sedemikian kerana jika Kedah membangun, faedahnya turut dirasai Persekutuan.

“Hentikanlah sebarang tekanan, picitan, tenyehan atau apa-apa yang berkaitan, terutama dalam membangkitkan isu-isu utiliti seperti air dan elektrik yang sengaja digembar-gemburkan.

“Tindakan sedemikian tidak membantu sektor pelaburan dan itu dilakukan pihak-pihak yang mengepalai kerajaan Persekutuan. Hal ini patut diberi tumpuan kerana ekonomi sepatutnya merentasi parti dan kepentingan politik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Bina Darulaman Berhad (BDB) dengan Shanghai Youzhu Industry Co. Ltd. (Shanghai Youzhu) di sebuah hotel, di sini hari ini.



MoU itu ditandatangani bagi melaksanakan projek pengurusan sisa industri secara inovatif selain menjadi inisiatif BDB untuk menyumbang kepada kelestarian alam sekitar, melalui pembangunan mampan di negeri ini.

Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata, sektor ekonomi sepatutnya diberi ruang seluas-luasnya untuk berkembang bagi membawa kesejahteraan kepada rakyat.

Selain itu katanya, semua pihak perlu memastikan agar para pelabur yang datang ke negara ini tidak menerima impak buruk, kesan daripada kepentingan politik sempit golongan tertentu.

“Ini permintaan khusus saya kepada para pemain politik picisan yang mengambil kesempatan daripada isu tertentu dalam dunia politik, dan mengheretnya ke sektor ekonomi.



“Golongan ini perlu belajar lebih banyak dan mendalam kerana peluang yang ada terlalu besar untuk dilepaskan dan masa bergerak pantas. Sekali kita lepaskan peluang-peluang yang hadir, maka peluang itu akan pergi ke tempat lain,” katanya.

Tambahnya, setiap sengketa politik sempit wajar dilupakan dengan keutamaan perlu diberi kepada pembangunan sosio ekonomi agar taraf hidup rakyat dapat dibangunkan.

“Kepada rakyat Kedah, saya memberi komitmen dan janji untuk meninggalkan semua kepentingan aktiviti politik demi memberi keselesaan kepada semua orang yang datang ke sini, tanpa perbezaan warna dan layanan adil.

“Ini merupakan tekad dan azam Kedah di bawah pentadbiran saya, untuk kita lihat kebangkitan negeri ini menjadi The Greater Kedah,” katanya.



Oleh – KOSMO! ONLINE.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button