RM68.28 juta untuk cegah banjir dan hakisan sungai di Sabah

 

Oleh Pena Merah

RM68.28 juta untuk cegah banjir dan hakisan sungai di Sabah
Hajiji meninjau tapak projek Kerja-Kerja Pertahanan Tebing Sungai Tuaran di Pekan Tuaran

Kerajaan Sabah menyediakan peruntukan RM68.28 juta tahun ini untuk melaksanakan projek menangani dan mencegah banjir, penstabilan dan pencegahan hakisan tebing sungai dan pantai di negeri itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, projek pencegahan banjir dan hakisan itu akan dilaksanakan di beberapa lokasi seluruh negeri terutamanya kawasan berisiko banjir.



Beliau berkata, usaha itu adalah untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat pada tahap yang lebih selesa kerana kesejahteraan hidup rakyat menjadi keutamaan kerajaan.

“Projek penstabilan hakisan tebing sungai di pekan Tuaran contohnya, akan mengambil masa dua tahun untuk disiapkan, sudah pasti mampu menghalang hakisan tebing pada masa akan datang,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Bagi Projek Kerja-Kerja Pertahanan Tebing Sungai Tuaran di tapak projek itu di Pekan Tuaran, hari ini.

Katanya, projek yang dilaksanakan di tebing Sungai Tuaran unik kerana ia bukan hanya untuk mengukuhkan tebing sungai, malah turut mengambil kira keperluan mencantikkan persekitaran sungai berkenaan.

Beliau berkata, keindahan persisiran sungai itu juga akan memberi manfaat lain khususnya sebagai kawasan rekreasi awam untuk membolehkan aktiviti rekreasi seperti riadah, memancing atau lokasi penganjuran aktiviti di pekan Tuaran.



“Justeru saya mahu Jabatan Pengairan dan Saliran Sabah dapat menguruskan projek ini dengan sebaiknya dan disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.

Mengulas lanjut, Hajiji berkata, sungai tidak terkecuali terkesan daripada tekanan luaran yang boleh memudaratkan bukan sahaja kuantiti dan kualiti airnya tetapi juga fungsi ekosistemnya.

“Justeru, projek yang kita lancarkan amat penting sebagai ‘showcase’ berkaitan kepentingan sungai kepada masyarakat dengan harapan objektif untuk meningkatkan kesedaran pentingnya mengekalkan fungsi sungai dapat diterapkan kepada semua lapisan masyarakat bukan saja di Tuaran tetapi juga ke lokasi lain di seluruh Sabah,” jelasnya.

-Berita Harian-




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading