Ada NGO disyaki manipulasi mangsa penipuan

Oleh – Syeikh Baran


Ada NGO disyaki manipulasi mangsa penipuan
Ramli bercakap pada sidang media. – FOTO BERNAMA

Segelintir pertubuhan bukan kerajaan (NGO) disyaki memanipulasi mangsa jenayah komersial, dengan menawarkan perkhidmatan mewakili mereka untuk mendapatkan semula wang yang ditipu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata NGO berkenaan dipercayai mengenakan caj bagi perkhidmatan ditawarkan itu walaupun tiada sebarang jaminan untuk mangsa memperoleh semula wang mereka yang telah ditipu.



“Berdasarkan sistem perundangan di negara ini, sebarang tuntutan pampasan, kerugian dan seumpamanya, memerlukan mangsa memfailkan tuntutan melalui mahkamah.

“Prosedur tuntutan ini hanya boleh dikendalikan oleh individu profesional yang terdiri daripada pengamal undang-undang bertauliah,” katanya pada sidang media, di sini.

Justeru, Ramli berkata, sebarang tawaran perkhidmatan berbentuk ‘debt collector’ oleh pihak NGO, perlu dinilai dan difikirkan sedalam-dalamnya kerana ia tidak dilindungi bawah undang-undang.

“Pihak polis khuatir caj perkhidmatan yang dibayar itu hanya akan mengakibatkan mangsa mengalami kerugian tambahan di samping kerugian yang telah dialami,” katanya.



Dalam perkembangan lain, Ramli sekali lagi mengingatkan orang ramai yang ingin membuat pelaburan menggunakan mata wang kripto, supaya merujuk kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk pandangan dan nasihat.

Setakat ini, beliau berkata, hanya lima syarikat dibenarkan oleh SC untuk menjalankan urusan berkaitan mata wang kripto di Malaysia.

JSJK sedang menyiasat 37 kes berkaitan pelaburan accerx yang menawarkan pelaburan bitcoin kepada mangsa sehingga membabitkan kerugian RM20.9 juta.

Sumber – BERITA HARIAN




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading