UMNO minta kerajaan segera tubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig

Oleh – Syeikh Baran


UMNO minta kerajaan segera tubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig
Ahmad Zahid mempengerusikan mesyuarat MKT UMNO, malam ini. – FOTO BERNAMA

Kerajaan diminta menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia dengan segera bagi menjamin kebajikan dan hak pekerja ekonomi gig di negara ini terpelihara.

Perkara itu dipersetujui sebulat suara pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, malam ini.
 

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata cadangan itu dibincangkan selepas pihaknya menerima Memorandum Tuntutan Rakan-Rakan Penghantar Syarikat Penyedia Perkhidmatan Penghantaran Barangan dan Makanan (P-Hailing).



“Sehubungan itu, mesyuarat sebulat suara bersetuju meminta kerajaan untuk segera menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia,” katanya pada sidang media, di sini.

Terdahulu, Timbalan Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia, Abdul Hakim Abdul Rani, menyerahkan memorandum tuntutan itu kepada Asyraf Wajdi sebelum mesyuarat berlangsung.

Melalui memorandum itu, mereka membuat 10 tuntutan, antaranya dikembalikan semula kadar upah pengambilan dan penghantaran barangan sebanyak RM5 bagi dua kilometer (km) pertama dan 0.60 untuk setiap km berikutnya.

Mereka juga menuntut supaya bonus pengambilan dikembalikan semula, dan menambah baik pemulangan bayaran pembatalan pesanan yang membabitkan pesanan tunai.



Dalam perkembangan lain, Asyraf Wajdi berkata, MKT UMNO merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan kerajaan yang konsisten memperjuangkan rakyat Palestin.

Beliau berkata, perjuangan itu berhasil kerana membawa kepada keputusan positif Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), hari ini, yang memerintahkan Israel menghalang tindakan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin.

“Keputusan positif ICJ turut membenarkan bantuan kemanusiaan dibawa masuk ke Gaza,” katanya.

ICJ hari ini memerintahkan Israel untuk tidak melakukan pembunuhan beramai-ramai dalam operasi ketenteraannya di Gaza.



Sebelum ini, Afrika Selatan memfailkan tuntutan di ICJ pada 29 Disember lalu, memohon injunksi terhadap Israel atas alasan serangan rejim Zionis ke atas Gaza adalah melanggar Konvensyen Genosid.

Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, UMNO melalui Majlis Ekonomi dan Kewangannya yang dipengerusikan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, akan mengadakan Kolokium Kongres Ekonomi Bumiputera di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, 3 Februari depan.

Beliau berkata, resolusi kolokium itu akan dibentangkan dalam Kongres Ekonomi Bumiputera pada 29 Februari hingga 2 Mac depan.

Selain itu, Asyraf Wajdi berkata, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 dijadualkan berlangsung dari 21 hingga 24 Ogos depan.



“Persidangan UMNO cawangan akan bermula 22 April hingga 2 Jun, manakala mesyuarat perwakilan UMNO, Wanita, Pemuda dan Puteri bahagian pula dari 21 Jun hingga 29 Julai depan,” katanya.

Sumber – BERITA HARIAN


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading