Bekas setiausaha politik menteri, Datuk Seri disambung reman

Oleh – Syeikh Baran


Bekas setiausaha politik menteri, Datuk Seri disambung reman
Kedua-dua suspek yang disyaki terbabit meminta serta menerima suapan daripada beberapa syarikat yang mendapat tender di sebuah kementerian.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyambung reman bekas setiausaha politik kepada seorang bekas menteri dan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri.

Menurut sumber, tindakan tersebut bagi membantu siasatan kes meminta serta menerima suapan daripada beberapa syarikat yang mendapat tender di sebuah kementerian.



Kata sumber, Majistret Ain Nurshahira Sahzan membenarkan perintah reman selama tiga hari bermula esok hingga Selasa hadapan terhadap kedua-dua suspek yang berusia sekitar 40-an.

“Permohonan reman tersebut dipohon oleh SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pada pagi tadi,” katanya.

Sebelum ini, kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula 24 Januari lalu bagi membantu siasatan terhadap kes berkenaan.

Mereka dipercayai telah menerima suapan daripada syarikat serta kontraktor yang mendapat tender kerja di sebuah kementerian sekitar 2020 hingga 2021 bernilai jutaan ringgit.



Sepanjang tempoh siasatan, SPRM telah menyita dan merampas beberapa buah kenderaan mewah yang dimiliki oleh suspek.

Kenderaan yang telah disita tersebut ialah Rolls Royce Ghost V12 Ewb, Mercedes-Benz G63 Amg Brabus, Range Rover Autobiography, Porsche Cayenne, Toyota Land Cruiser, Mini Cooper Works Rhd, Toyota Alphard, Toyota Vellfire dan Mercedes-Benz S400L.

Kesemua kenderaan mewah tersebut kini disimpan di Gudang Sita SPRM.

Dipercayai kenderaan-kenderaan mewah tersebut adalah hasil dari sumber rasuah yang telah diperoleh oleh suspek bersangkutan dengan tender di kementerian terbabit.



Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan reman lanjut terhadap dua suspek berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Sumber – KOSMO! ONLINE.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button