Rugi RM1.34 bilion angkara scammer sepanjang 2023

Oleh – Syeikh Baran


Rugi RM1.34 bilion angkara scammer sepanjang 2023
Foto Hiasan

Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) merekodkan kerugian berjumlah RM1.34 bilion melibatkan kes jenayah dalam talian sejak 1 Januari hingga 8 Disember lalu.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, jumlah itu direkodkan daripada 33,235 kes yang dilaporkan kepada pihaknya sepanjang tempoh tersebut.



Menurut beliau, angka tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak RM536 juta berbanding tempoh sama tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM804 juta.

“Kerugian ini melibatkan enam jenis penipuan dengan pelaburan tidak wujud merekodkan jumlah tertinggi iaitu RM437 juta diikuti e-dagang (RM383 juta), telekomunikasi (RM334 juta), e-kewangan (RM104 juta), ‘love scam’ (RM41 juta) dan pinjaman tidak wujud (RM39 juta).

“Jumlah kerugian ini direkodkan NSRC melalui mangsa yang membuat laporan ke talian 997. Saya percaya sebenar lebih tinggi kerana ada mangsa yang membuat laporan kepada polis,” katanya selepas menyempurnakan Program SWM Kasih Misi Sampul Merah di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Desa Kulai, di sini hari ini.

Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai memberitahu, pihaknya tidak menafikan masih terdapat ramai rakyat negara ini yang terperdaya dengan pelbagai tipu helah sindiket penipuan online.



“Jangan mudah terpedaya dengan pelaburan yang menjanjikan pulangan sehingga lebih 20 peratus. Jika mereka hebat mengapa tidak berdaftar dengan SC (Suruhanjaya Sekuriti). Jadi nasihat saya berhati-hati kerana kebanyakan mangsa kehilangan semua duit simpanan,” ujarnya.

Pada program berkenaan, Nie Ching memberitahu, pihaknya bekerjasama dengan SWM Environment untuk menyantuni 50 keluarga berpendapatan rendah sempena Tahun Baharu Cina, tidak lama lagi.

Menerusi program itu, semua keluarga terbabit menerima sumbangan berbentuk barangan keperluan harian dan wang RM100.

Sumber – OSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button