Wanita hilang ditemukan dalam ladang sawit
Oleh – Syeikh Baran

Seorang wanita warga emas dijumpai selamat setelah dilaporkan hilang sejak petang semalam selepas keluar mencari ikan di sekitar anak sungai di belakang rumahnya.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata Cherurai Mukan, 74, dari Rh. Samuli, Sungai Tau, Selangau dijumpai kira-kira pukul 8.30 pagi di sebuah ladang kelapa sawit.
Mangsa dilaporkan keluar dari rumah dengan membawa peralatan menangkap ikan kira-kira pukul 2.15 petang semalam, namun sehingga pukul 5.30 petang dia tidak pulang.
Susulan itu, kira-kira 30 penduduk dari empat buah rumah panjang melakukan pencarian di sekitar belakang rumah dan kebun sawit, namun gagal menjumpai mangsa.
Penduduk kampung kemudian meneruskan pencarian seawal pukul 6.30 pagi tadi, sebelum ketibaan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau.
Sumber – KOSMO! ONLINE