Dipenjara 6 bulan kerana tawar RM5 juta untuk bunuh PM

 

Oleh Pena Merah

Dipenjara 6 bulan kerana tawar RM5 juta untuk bunuh PM

Seorang pemandu lori terkejut dan menangis selepas Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara enam bulan kerana membuat hantaran mengancam di TikTok untuk membunuh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tahun lalu.



Hakim N Priscilla Hemamalini menjatuhkan hukuman itu ke atas Faizal Mohamad, 35, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara bermula hari ini.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melalui perkhidmatan aplikasi Tiktok menggunakan nama profil “@jaiadani89” di pautan https://www.tiktok.com/@jaiadani89 secara sedar membuat dan memulakan penghantaran dengan menggunakan perkhidmatan komunikasi yang mengancam sifatnya sepertimana “hari ini aku nk transfer RM5 juta kat sape2 yg nak..tapi kena buat kerja sikit la..tembak mati pmx dan menteri2 b****** Dan geng2 dap l*******..” dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Hantaran itu dibuat dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, yang telah dibaca pada 26 November 2023, pada 12 tengah hari di sebuah kondominium di Jalan Tong Shin di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.



Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan diteruskan selepas sabitan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal berkata, hantaran yang dibuat oleh OKS adalah tidak wajar dan bersifat mengancam selain perlu lebih berhati-hati menggunakan media sosial.

“Saya mohon OKS dikenakan hukuman setimpal supaya satu mesej pengajaran dapat diberikan oleh OKS dan masyarakat,” katanya.

Faizal yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda kerana dia yang baru mendapat pekerjaan lain dan berpendapatan RM2,000 sebulan perlu menanggung dua anak berumur tujuh dan lapan tahun serta ibu yang menghidap sakit jantung.



“Isteri tidak bekerja. Saya ada banyak hutang yang belum dibayar dan kelengkapan sekolah anak tak beli lagi, oleh itu saya mohon mahkamah bagi tempoh untuk bayar denda kerana saya gaji dalam 5 atau 6 haribulan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan pemilik akaun TikTok yang melakukan ugutan bunuh terhadap Perdana Menteri ditahan polis di Jalan Padang Tembak, Kota Bharu, Kelantan.

Pemilik akaun itu sebelum ini memuat naik video menawarkan RM5 juta kepada sesiapa yang menembak mati Perdana Menteri, menteri dan ahli-ahli sebuah parti politik. Bagaimana pun, video berkenaan sudah dipadamkan.

-Berita Harian-




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading