Empat trofi dalam jangkauan Liverpool

Oleh – Syeikh Baran


Empat trofi dalam jangkauan Liverpool
Penyerang Liverpool, Darwin Nunez (kiri) meledak masuk gol kedua ketika menentang Norwich City pada pusingan keempat Piala FA Inggeris di Anfield awal pagi tadi. – Foto AFP

Liverpool kekal dalam buruan untuk menghadiahkan Jurgen Klopp empat kejuaraan sebagai perpisahan selepas menumpaskan Norwich 5-2 dalam Piala FA Inggeris awal pagi tadi, dengan pengurus itu mengakui beliau perlu “diperbuat daripada kayu” supaya tidak tersentuh dengan apa yang diharunginya.

Klopp disambut dengan lagu penuh emosi “You’ll Never Walk Alone” sebelum sepak mula dan sepanduk terima kasih dalam perlawanan pertama sejak pengendali dari Jerman itu mengumumkan keputusannya untuk meninggalkan kelab Merseyside itu hujung musim ini.



Pengurus berusia 56 tahun itu membuat pengumuman mengejut Jumaat lalu mengenai pemergiannya dengan berharap “memori terbaik akan terus hadir” di sebalik memenangi Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara ketika kendaliannya.

Sekiranya Liverpool layak ke final Piala FA, perlawanan terakhir Klopp adalah di Wembley dan mereka menjadi pilihan utama untuk layak ke suku akhir selepas diundi di laman sendiri bertemu sama ada Watford atau Southampton pada pusingan 16 terakhir.

“Ia penuh emosi tetapi saya perlu bertenang. Saya menerima terlalu banyak mesej. Saya tidak diperbuat daripada kayu,” kata Klopp mengenai usahanya menangani emosi dalam beberapa hari terakhir.

“Akan ada satu detik pada hujung musim yang mana kami akan menyatakan ‘selamat tinggal’ dan ia pasti penuh emosi, tetapi antara kini dan masa itu kami ada tugas besar untuk dilaksanakan.”



Rakan sejawat Klopp, bos Norwich David Wagner, adalah pengapit pada hari perkahwinannya selepas kedua-duanya beraksi bersama di Mainz.

Empat trofi dalam jangkauan Liverpool
Penyerang Liverpool, Diogo Jota (kiri) menjaringkan gol ketiga mengatasi penjaga gol Norwich, George Long pada pusingan keempat Piala FA Inggeris di Anfield awal pagi tadi. – Foto REUTERS

Kedua-duanya berpelukan seketika di terowong sebelum sepak mula, namun Liverpool tidak menunjukkan belas kasihan terhadap anak buah Wagner di sebalik Klopp memberi peluang kepada beberapa pemain mudanya untuk menyerlah.

James McConnell diberikan penampilan sulung penuh di bahagian tengah dan pemain berusia 19 tahun itu mencipta gol pembukaan apabila hantaran lambungnya ditanduk masuk Curtis Jones.

Norwich membalas sejurus kemudian apabila Ben Gibson merembat kencang melepasi Alisson Becker susulan sepakan sudut Gabriel Sara.



Liverpool mendahului 2-1 ketika rehat apabila Darwin Nunez menyumbat masuk gol ke-11 buatnya musim ini selepas kerja keras Conor Bradley di sayap kanan.

The Reds setakat ini tidak terasa ketiadaan Mohamed Salah berikutan Piala Negara-Negara Afrika untuk mendahului lima mata di puncak Liga Perdana Inggeris dan memburu tiga lagi trofi – Piala Liga, Piala FA dan Liga Europa.

Empat trofi dalam jangkauan Liverpool
Penjaga gol Norwich City, George Long gagal menyelamatkan tandukan Virgil van Dijk bagi gol keempat Liverpool pada pusingan keempat Piala FA Inggeris di Anfield awal pagi tadi. – Foto REUTERS

Diogo Jota menjalankan tanggungjawabnya menyumbat gol dengan ketiadaan Salah dan pemain Portugal itu merembat masuk selepas Gibson tertanduk bola ke arahnya.

Sepakan sudut Dominik Szoboszlai ditanduk masuk Virgil van Dijk untuk menjadikan kedudukan 4-1 selepas sejam.



Rembatan kencang Borja Sainz dari luar kotak penalti mengurangkan defisit buat Norwich namun tuan rumah tidak berdiam diri apabila Ryan Gravenberch meledak masuk gol kelima pada masa kecederaan. – AFP

Sumber – BERITA HARIAN


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading