Tiada tempat automatik buat Kelantan di Liga M3

Oleeh – Syeikh Baran


Tiada tempat automatik buat Kelantan di Liga M3
Raimi (dua dari kiri) akui pengurusan Kelantan FC sudah kemukakan pertanyaan cara-cara untuk menyertai Liga M3.

Sekalipun disingkirkan daripada saingan Liga Super bagi musim 2024/ 25 susulan gagal mendapat lesen kebangsaan, itu tidak bermakna Kelantan FC secara automatik akan bersaing dalam saingan semi profesional, Liga M3.

Meskipun skuad The Red Warriors (TRW) boleh mengemukakan permohonan, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Amatur (AFL), Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad menjelaskan keutamaan tetap diberikan kepada pasukan Liga M sedia ada yang sudah bersaing pada musim lalu.



“Kami sedia maklum mengenai keinginan Kelantan FC untuk bermain dalam kancah Liga M3. Malah, pihak pengurusan juga sudah mengemukakan pertanyaan mengenai cara-cara untuk menyertai Liga M3.

“Jika mereka mahu, mereka boleh kemukakan permohonan bagi proses dokumentasi tetapi ia bukanlah automatik kerana kriteria pun masih sama sahaja sebelum ini.

“Cuma kita utamakan pasukan sedia ada yang mana 12 pasukan yang sertai pada tahun lalu untuk menyertai saingan Liga M3 2024,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd Raimi turut membayangkan saingan Liga M3 2024 akan menampilkan 14 pasukan dengan dua lagi pasukan akan ‘dinaikkan pangkat’ daripada pentas Liga M4 musim lalu.



“Dua pasukan yang dinaikkan pangkat daripada Piala Al-Ikhsan turut ditawarkan beraksi di pentas Liga M3. Cuma kalau ada kelab yang menarik diri, mungkin kita akan buka peluang kepada pasukan-pasukan lain seperti Kelantan FC,” katanya.

Terdahulu, pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau Zamsaham memberi bayangan pasukan TRW akan bermain dalam saingan Liga M3 bagi musim depan.

Keputusan itu terpaksa dilalui oleh Kelantan FC selepas tidak diberikan lesen kebangsaan oleh First Instance Body (FIB) sekali gus menyaksikan mereka ‘diharamkan’ daripada menyertai saingan Liga Super musim 2024-2025.

 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button