Guardiola akui saingan rebut juara terbuka

Oleh – Syeikh Baran


Guardiola akui saingan rebut juara terbuka
ALVAREZ meledak dua gol ketika City mencatat kemenangan ke atas Burnley pada aksi di Etihad awal pagi semalam. – AFP

Pengendali Manchester City, Pep Guardiola mengakui perebutan trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim ini sangat terbuka dengan lebih daripada tiga kelab berpotensi untuk muncul juara.

Sebagai rekod, City kembali merampas kedudukan kedua EPL selepas berjaya menewaskan Burnley 3-1, tetapi masih dibezakan lima mata berbanding pendahulu, Liverpool dengan berkongsi mata bersama Arsenal di kedudukan ketiga, namun kekurangan satu perlawanan.



Kata Guardiola, beberapa kelab lain seperti Tottenham Hotspur dan Aston Villa juga mampu memberikan cabaran sengit selepas perbezaan mata antara lima pasukan teratas tidak terlalu ketara.

“Saya tidak rasa hanya tiga pasukan (City, Liverpool dan Arsenal), sebaliknya Spurs dan Villa juga wajar dianggap sebagai pencabar. Namun, harus diakui pasukan Liverpool dan Arsenal mampu memberikan cabaran yang lebih baik.

“Buat masa ini, saya seru kepada pemain agar tidak berpuas hati dengan prestasi semasa dan terus bekerja keras sehingga penghujung musim nanti sekiranya berhasrat untuk mengekalkan trofi EPL,” katanya.

Mengulas mengenai perlawanan, Guardiola mengakui anak-anak buahnya berada dalam kelas tersendiri selepas berjaya meraih tiga mata berharga hasil jaringan Julian Alvarez (dua gol) dan Rodri.



“Walaupun kita meraih keputusan 3-1, saya rasa pasukan sepatutnya boleh mencetak lebih banyak gol kerana kita mendominasi sepenuhnya perlawanan tetapi pujian wajar diberikan kepada Burnley kerana tidak mengalah,” katanya. – AGENSI

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button