Kelantan perlu tangguh kenaikan tarif air

Oleh – Syeikh Baran


Kelantan perlu tangguh kenaikan tarif air
Ahmad Jazlan (dua dari kanan) bersalaman dengan peserta semasa hadir merasmikan Kejohanan Liga Sepak Takraw Piala Datuk Ahmad Jazlan di SK Machang, hari ini.

Kerajaan negeri Kelantan disaran untuk menangguhkan pelarasan kenaikan tarif air domestik sebanyak 23 sen yang bermula semalam.

Pengerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan Madani Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob berkata, kenaikan itu tidak wajar dilaksanakan di Kelantan memandangkan perkhidmatan bekalan air yang diberikan kepada rakyat masih belum sempurna sepenuhnya.

Menurutnya, perkara itu dapat dilihat apabila rakyat terus merungut dengan kualiti perkhidmatan yang disediakan.

“Kerajaan negeri wajar memberikan tumpuan kepada usaha menaik taraf saliran-saliran dan menyediakan kemudahan terbaik untuk rakyat.



“Rakyat Kelantan yang tinggal di luar dari negeri ini, tidak mengapa. Mereka sudah mendapat kemudahan baik dan balik ke sini setahun sekali,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kejohanan Liga Sepak Takraw Piala Datuk Ahmad Jazlan di Sekolah Kebangsaan (SK) Machang, di sini hari ini.

Ahmad Jazlan yang juga merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan memberitahu, justeru, kenaikan bil air mengikut tarif baharu dilihat tidak adil untuk rakyat.

Katanya, perkara utama yang dinilai adalah kerajaan negeri gagal menyediakan kemudahan terbaik pada rakyat terutamanya dalam aspek pekhidmatan air.

“Boleh untuk menaikkan tarif air di Kelantan jika perkhidmatan yang diberi berada pada tahap terbaik sekali gus memberikan kepuasan untuk rakyat,” ujarnya.



Media sebelum ini melaporkan, pengguna air domestik di Kelantan akan menerima tarif baharu air dengan kenaikan 23 sen bagi setiap meter padu berkuat kuasa semalam.

Kenaikan tarif itu menyaksikan bacaan meter individu kurang daripada 0 hingga 20 meter padu yang sebelum ini dikenakan bayaran 45 sen naik kepada 68 sen.

Bagi penggunaan melebihi 20 hingga 35 meter padu, tarif naik kepada RM1.26 sen daripada 97 sen manakala pengguna bukan domestik iaitu bagi 0 hingga 35 meter padu pula naik RM2.03 berbanding RM1.95 sebelum ini.

Selain itu, tarif bagi penggunaan air melebihi 35 meter padu dinaikkan kepada RM2.28 daripada RM2.20.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker