4 ditahan SPRM kes tuntutan palsu lebih RM1.3 juta

Oleh – Syeikh Baran


4 ditahan SPRM kes tuntutan palsu lebih RM1.3 juta
FOTO HIASAN

Guru besar antara empat individu yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu berkaitan pembekalan makan minum murid dan kontrak pembersihan sekolah bernilai lebih RM1.3 juta.

Empat suspek yang berusia antara 30-an hingga 50-an itu ditahan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu ketika hadir memberi keterangan pada kira-kira jam 11 pagi tadi.



Sumber berkata, suspek yang juga seorang guru besar bersama ketua pembantu tadbir dan dua pengurus syarikat ditahan atas dakwaan berkomplot membuat tuntutan palsu bagi pembekalan makan minum murid di asrama sebuah sekolah rendah di negeri ini membabitkan kontrak pembekalan bernilai RM 1.3 juta.

Katanya, semua suspek dikatakan berkomplot dalam mengemukakan tuntutan palsu bermula 2022 sehingga 2023 membabitkan tuntutan ke atas 100 murid sedangkan jumlah murid sebenar hanyalah 35 orang.

“SPRM Terengganu dalam operasi sama turut menjalankan siasatan terhadap tuntutan palsu membabitkan kontrak pembersihan berjumlah RM35,000 di sekolah sama.

“Semua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pagi esok bagi mendapatkan permohonan reman,” katanya.



Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan semua suspek terbabit.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan tidak menolak kemungkinan terdapat lagi tangkapan susulan berkaitan siasatan ini.

Sumber – BERITA HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button