‘Paip haram ada renjatan elektrik’

Oleh – Syeikh Baran


'Paip haram ada renjatan elektrik'
Antara sambungan paip haram yang dikesan dilakukan penghuni setinggan dekat Kampung Rampayan, Jalan Sulaman di Kota Kinabalu. NSTP/Ihsan Facebook Jabatan Air Negeri Sabah.

Penguat kuasa Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) berdepan ancaman keselamatan, termasuk terkena renjatan elektrik ketika melaksanakan operasi pemotongan sambungan paip haram di kawasan setinggan.

Mendedahkan perkara itu, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmey Yahya, berkata ada penguat kuasa JANS pernah terkena renjatan elektrik daripada kabel ‘hidup’ yang dipercayai sengaja dipasang bersama sambungan paip haram.
 

Katanya, atas sebab itu pelaksanaan operasi pemotongan sambungan paip haram bagi menghentikan kecurian air di kawasan setinggan di negeri ini terpaksa dilakukan secara berhati-hati dengan memotong punca sambungannya di paip utama milik JANS.



Beliau berkata, cadangan orang ramai untuk mengesan pelaku penyambungan paip haram dengan menyusuri batang ‘polypipe’ hingga ke rumah setinggan amat berisiko disebabkan faktor keselamatan itu.

“Ada yang kata kenapa kita tidak ikut saja paip haram itu hingga ke rumah pelakunya. Namun, risikonya tinggi kerana pernah penguat kuasa JANS terkena renjatan elektrik ketika menarik batang paip haram itu.

“Jadi kita terpaksa potong saja sambungan haram itu dan buat pemantauan berkala supaya ia tidak dipasang semula,” katanya ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke premis perniagaan sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Pekan Tanjung Aru dan Pekan Sembulan, di sini, hari ini.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai operasi pemotongan penyambungan paip haram yang dilaksanakan JANS di beberapa kawasan setinggan di Sepanggar, baru-baru ini.



Operasi itu antara langkah bagi mengurangkan gangguan bekalan air yang dialami pengguna di sekitar Sepanggar atau utara Kota Kinabalu, termasuk di Universiti Malaysia Sabah (UMS) ketika ini.

Pada awal Januari lalu, Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mendedahkan kira-kira 12,000 rumah setinggan ada di Sepanggar ketika ini dengan jumlah air yang dicuri penghuninya mencecah 18 juta liter sehari (MLD).

Mengulas lanjut, Shahelmey berkata, penguat kuasa JANS baru-baru ini melaksanakan operasi pemotongan paip haram di kawasan setinggan dekat Kampung Rampayan, Jalan Sulaman, di sini, dan berhampiran kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Kuala Manggatal.

“Operasi ini dilaksanakan bagi mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW) yang dibuat berterusan secara berkala. Kita juga memohon orang ramai yang nampak ada kegiatan penyambungan paip haram supaya melaporkan kepada pihak JANS untuk diambil tindakan,” katanya.



Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button