Parkir awam dibolot kenderaan pekerja Malaysia di Singapura

Oleh – Syeikh Baran


Parkir awam dibolot kenderaan pekerja Malaysia di Singapura
Peniaga, Alif Abdullah, 40, terpaksa meletak kon penghadang berikutan kawasan parkir awam di situ, dimonopoli kenderaan pekerja Malaysia di Singapura, sejak dua tahun lalu di Gelang Patah, Johor. NSTP/Nur Aisyah Mazalan

Puluhan peniaga di Medan Nusa Perintis 2, Gelang Patah, di sini, mendakwa hilang pendapatan selepas kawasan parkir awam di situ, dimonopoli kenderaan pekerja Malaysia di Singapura, sejak dua tahun lalu.

Tinjauan di kawasan perniagaan itu mendapati tempat parkir awam di situ penuh sesak dengan ratusan kenderaan pekerja Malaysia di Singapura yang memenuhi lokasi berkenaan, seawal jam 5 pagi.



Ia menyebabkan pelanggan yang mahu mengunjungi premis perniagaan termasuk Medan Selera Iskandar Malaysia tidak dapat berurus niaga dan terpaksa pergi ke lokasi lain, sekali gus menjejaskan perniagaan peniaga makanan di situ.

Peniaga makanan di Medan Selera Iskandar Malaysia, Mariati Muhammad, 32, berkata hampir 20 gerai makanan di situ kerugian sejak dua tahun lalu berikutan jumlah pelanggan yang amat berkurangan.

Katanya, isu kenderaan pekerja Malaysia di Singapura yang memonopoli parkir awam di situ, selama 15 jam sehari sudah diadukan kepada Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) bagi penyelesaiannya.

“Namun isu ini masih belum dapat diatasi menyebabkan peniaga makanan yang beroperasi bermula jam 7 pagi hingga 10 malam di sini kerugian akibat tidak ramai pelanggan dapat datang ke sini.



“Ramai pelanggan mengadu mereka terpaksa berpusing dua tiga kali dan akhirnya terpaksa pergi ke lokasi lain untuk menjamu selera.

“Bayangkanlah ratusan kenderaan pekerja Malaysia di Singapura sudah mula parkir di sini sejak jam 5 pagi dan hanya akan pulang jam 8 malam iaitu 15 jam sehari ada pula yang parkir percuma berminggu-minggu lamanya.

“Kami sudah tidak tahan lagi sehingga terpaksa ambil keputusan sendiri dengan meletakkan kon penghadang seawal jam 4.30 pagi dan mengawal kawasan parkir awam di hadapan medan selera yang tidak sampai 25 lot supaya tidak diambil pekerja Malaysia di Singapura.

“Kami peniaga juga sering bergaduh dan bertekak dengan pekerja Malaysia di Singapura yang tidak mahu bertolak ansur dan berdegil mahu meletakkan juga kenderaan mereka di sini selain mereka merosakkan kon penghadang jika kami terlewat tiba untuk mengawal parkir setiap awal pagi,” katanya.



Pekerja kedai menjual dan membaiki motosikal, Muhammad Amirul Abdullah, 30, berkata ketiadaan parkir di kawasan itu menyebabkan pelanggan kedai terpaksa meletakkan kenderaan mereka di lorong sempit belakang kedai.

“Paling dikesalkan ada kenderaan pekerja Malaysia di Singapura sengaja parkir di lot hadapan kedai yang sudah dibayar secara tahunan kepada MBIP menyebabkan kami sukar beroperasi dan terpaksa memanggil trak penunda penguat kuasa bagi mengalihkan kenderaan yang menghalang,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Gelang Patah, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Mohd Faiz Abdullah, berkata MBIP sudah mengenal pasti beberapa tanah di sekitar kawasan itu bagi dijadikan tapak parkir kenderaan pekerja Malaysia di Singapura.

Katanya, kawasan Gelang Patah menjadi lokasi berpusat pekerja Malaysia di Singapura menaiki bas pekerja seawal jam 5 pagi menyebabkan hampir semua parkir awam di kawasan itu dimonopoli mereka.



“Di Gelang Parah ada lebih 300 kenderaan pekerja Malaysia di Singapura yang parkir di parkir awam medan perniagaan di sini hingga mengganggu peniaga dan pelanggan berurusniaga setiap hari.

“Isu ini bukan sahaja di Gelang Patah, saya difahamkan ia lebih teruk di Taman Ungku Tun Aminah (TUTA) yang mempunyai 1,500 kenderaan pekerja Malaysia di Singapura yang parkir di lot awam di sana manakala di Bukit Indah turut ada lebih 300 kenderaan golongan sama yang memonopoli parkir awam.

“Oleh itu, MBIP sudah mengenal pasti beberapa lokasi tanah serta kawasan lapang bagi membolehkan tapak parkir berbayar khas untuk pekerja golongan ini diletakkan tanpa mengganggu kawasan komersial lain.

“Di TUTA, dimaklumkan penguat kuasa sudah memberi notis kepada kenderaan golongan ini supaya tak diletakkan di parkir awam kerana sudah ada kawasan lapang khas disediakan iaitu di Wisma MBIP Skudai.



“Jika mereka berdegil, trak penunda MBIP akan menunda kenderaan ini ke stor simpanan,” katanya.

Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button