Anak jadi pendiam, kurang makan petanda mahu ‘pergi’

 

Oleh – Syeikh Baran


 

Anak jadi pendiam, kurang makan petanda mahu 'pergi'
JAMILAH (kiri) sebak dan ditenteramkan oleh adik iparnya, Siti Zalina Aman, 52. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad

“Kasihan anak aku… penat baru balik kerja (terbabit) kemalangan. Bila tengok video (tular), kereta itu yang salah bukan anak aku,” rintih suri rumah, Jamilah Said, 56.



Jamilah yang tidak dapat menahan sebak, berpelukan dengan ahli keluarga ketika menunggu proses bedah siasat mayat anaknya, Amir Asyraaf Abdul Zalil, 24, di pekarangan Jabatan Forensik, Hospital Melaka (HM) hari ini.

Nahas berlaku kira-kira 9.15 malam semalam di persimpangan lampu isyarat Taman Paya Emas, Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Alor Gajah (SPA) di sini, apabila Amir Asyraaf yang menunggang motosikal Yamaha YZF-R15M bertembung dengan kereta Perodua Viva.

Menurut Jamilah dia baru selesai solat Isyak apabila didatangi orang awam di rumahnya di Taman Seri Jeram, Masjid Tanah memberitahu kejadian menimpa anaknya.

Katanya, tiada perubahan pelik ditunjukkan oleh anaknya sebelum kejadian cuma arwah menjadi sedikit pendiam dan kurang makan.



“Arwah seorang anak yang baik dan sempat bersalam sebelum pergi kerja pagi semalam seperti biasa.

“Cuma dalam dua tiga hari ini saya nampak dia kurang bercakap dan banyak makan roti bila pulang dari kerja serta rajin membasuh motosikal barunya. Tak sangka ia jadi petanda kematiannya,” katanya ketika ditemui.

Jamilah berkata, anak ketiga daripada lima beradik itu masih bujang namun merancang untuk berkahwin tahun hadapan dan sudah mula mengumpul duit hasil bekerja sebagai pembantu jurutera di sebuah kilang di Batu Berendam.

“Arwah baru setahun enam bulan bekerja dan merancang untuk berkahwin dengan gadis sama-sama belajar dengannya di Kolej Kemahiran Tinggi Mara Kuantan,” katanya yang berharap kematian anaknya mendapat pembelaan sewajarnya.



Suaminya, Abdul Zalil Aman, 60, seperti kehilangan kata-kata akibat terlalu bersedih atas kematian anaknya dan menangis hingga terpaksa ditenteramkan oleh ahli keluarganya.

Jenazah anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jeram, Masjid Tanah selepas solat Asar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, hasil siasatan, mangsa menunggang motosikal menghala ke Masjid Tanah, tiba-tiba sebuah Perodua Viva dari arah Sungai Udang membelok ke kanan jalan menyebabkan berlaku perlanggaran.

“Penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu Perodua Viva parah dan dirawat di Zon Merah HM,” katanya dihubungi dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.



Sumber – HARIAN METRO


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading