Waspada lolipop khayal

Oleh – Syeikh Baran


 

Waspada lolipop khayal
LOLIPOP itu dijual di media sosial

Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik (ONCB) pada 2 Februari lalu menggesa ibu bapa supaya berhati-hati terhadap dadah rekreasi jenis baharu dalam bentuk lolipop yang baru-baru ini menjadi popular dalam kalangan golongan muda dan pengunjung pusat hiburan.

The Straits Times melaporkan, gula-gula dadah itu menggunakan nama ‘lollipop parti’ atau ‘lollipop mabuk’ dan dijual secara terbuka di media sosial berikutan tindakan keras pihak berkuasa terhadap dadah rekreasi lain, kata Setiausaha Agung ONCB, Leftenan Jeneral Polis Phanurat Lakboon.

Beliau berkata, ujian terhadap empat variasi gula-gula oleh Institut Analisis Narkotik dan Perkhidmatan Teknikal ONCB mendapati satu daripadanya mengandungi nimetazepam dan tramadol, dua pula mengandungi ketamin dan tramadol, serta gula-gula terakhir mengandungi flunitrazepam.



“Ramuan ini sangat dikawal, bahan psikotropik kategori dua dan mesti ditetapkan oleh doktor di institut bertauliah sahaja.

“Ia boleh menyebabkan halusinasi, kemurungan pernafasan dan kematian,” katanya

Phanurat berkata, pihak berkuasa sebelum ini membanteras dadah serupa tetapi dalam bentuk serbuk yang untuk dicampur dengan kopi atau minuman beralkohol.

Ia menjadi sangat popular dalam kalangan pengunjung pusat hiburan.



Beliau memberi amaran bahawa mereka yang memiliki bahan psikotropik kategori dua untuk jualan atau pengedaran awam boleh dipenjara sehingga 15 tahun atau denda sehingga 1.5 juta baht (kira-kira RM199,000).

Mereka yang didapati bersalah mengiklankan dadah itu melalui saluran awam seperti media sosial juga boleh dipenjara sehingga dua tahun, denda 200,000 baht (kira-kira RM26,652) atau kedua-duanya sekali.

Phanurat menasihati ibu bapa untuk memeriksa gula-gula apa yang dibeli oleh anak-anak mereka, kerana ada yang mungkin membeli lolipop dadah itu tanpa mengetahui kesannya.

Beliau turut menggesa orang ramai memerhatikan tindak tanduk ahli keluarga mereka terutama jika kerap keluar malam atau mengunjungi tempat hiburan.

Sumber – HARIAN METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker