Firma multinasional ditipu sebab ‘deepfake’

 

Oleh – Syeikh Baran


Firma multinasional ditipu sebab 'deepfake'
TEKNOLOGI ‘deepfake’. FOTO AFP

Sebuah firma multinasional di bandar ini kerugian kira-kira 200 juta dolar Hong Kong (kira-kira RM121.55 juta) selepas menjadi mangsa sindiket penipuan yang menggunakan teknologi untuk menyamar sebagai eksekutif kanan.

Polis dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan ia adalah satu daripada kes pertama seumpamanya di bandar itu.

Menurut laporan media, polis menerima laporan mengenai kes itu pada 29 Januari dengan jumlah wang yang hilang membabitkan 15 transaksi.

“Seorang pekerja syarikat di hab kewangan China menerima panggilan persidangan video daripada seseorang yang menyamar sebagai pegawai kanan syarikat yang meminta untuk memindahkan wang ke akaun bank yang ditetapkan.



“Siasatan masih diteruskan dan tiada tangkapan dibuat setakat ini,” kata polis, tanpa mendedahkan nama syarikat itu.

Difahamkan, mangsa bekerja di bahagian kewangan, dan penipu itu menyamar sebagai ketua pegawai kewangan firma yang berpangkalan di United Kingdom (UK), menurut laporan media Hong Kong.

Pemangku Penguasa Kanan Baron Chan berkata, panggilan sidang video itu membabitkan beberapa peserta tetapi kesemuanya, kecuali mangsa, adalah penyamar.

“Penipu menemukan video dan audio sasaran penyamaran yang tersedia secara terbuka melalui YouTube, kemudian menggunakan teknologi deepfake untuk meniru suara mereka… untuk memperdaya mangsa supaya mengikut arahan mereka,” kata Chan kepada pemberita.

Video deepfake itu dirakam terlebih dahulu dan tidak membabitkan dialog atau interaksi dengan mangsa.

Agensi penguatkuasaan undang-undang sedang berebut-rebut untuk bersaing dengan kecerdasan buatan (AI) generatif.

Menurut pakar, AI generatif berpotensi untuk disalahgunakan seperti imej palsu yang menunjukkan seseorang seperti bercakap sedangkan individu itu tidak berbuat demikian.

Sumber – HARIAN METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker