Jabatan Kesihatan Pahang sedia 272 pasukan hadapi banjir

KUANTAN: Sebanyak 272 pasukan masing-masing membabitkan 149 pasukan perubatan dan 123 pasukan kesihatan disediakan bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) di Pahang.

Pengarah Jabatan Kesihatan Pahang (JKNP), Datuk Nor Azimi Yunus, berkata pasukan perubatan berperanan memberi rawatan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Katanya, pasukan kesihatan pula lebih kepada melakukan aktiviti pencegahan, pemantauan dan kawalan penyakit serta pemeriksaan persekitaran di PPS.



“JKNP juga menyediakan 95 Pasukan Perkhidmatan Kesihatan Mental Dan Sokongan Psikososial (MHPSS)dalam menangani isu kesihatan mental dalam kalangan mangsa banjir di PPS.

“Bermula 7 Disember lalu, secara kumulatif terdapat 20 pasukan perubatan ditugaskan di semua PPS di Pahang iaitu membabitkan daerah Lipis, Raub, Temerloh, Jerantut dan Bera.

“Sebanyak 18 pasukan kesihatan secara kumulatif ditugaskan melakukan pencegahan, pemantauan persekitaran dan kawalan penyakit di PPS.

“Pasukan MHPSS telah memberikan sokongan psikososial kepada 243 mangsa banjir secara kumulatif sehingga kini.



“Antara aktiviti psikososial yang diberikan adalah relaksasi, terapi seni dan psikopendidikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Nor Azmi berkata, JKNP menasihati orang ramai supaya mengambil air minuman dan makanan yang bersih serta tidak tercemar bagi mengelakkan kejadian penyakit bawaan air dan makanan.

Katanya, ia seperti keracunan makanan, taun (kolera), hepatitis A dan demam kepialu (tifoid) semasa bencana banjir.

“Orang ramai turut dinasihatkan untuk sentiasa menggunakan alat pelindung diri seperti but dan sarung tangan getah semasa aktiviti pembersihan banjir.



“Ia bagi mengurangkan risiko penyakit berjangkit seperti leptospirosis, melioidosis dan lain-lain penyakit bawaan air dan makanan,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button