‘Jaga’ masjid ulat buku dan berilmu

 

Oleh Pena Merah

'Jaga' masjid ulat buku dan berilmu
Pelbagai koleksi bacaan dimiliki seorang pengawal keselamatan di sebuah masjid di Sungai Buloh yang tular di media sosial.

Seorang pengawal keselamatan sebuah masjid di Sungai Buloh dikagumi orang ramai apabila memiliki pelbagai koleksi buku, kitab selain tafsir dan ensiklopedia sekali gus menjadi contoh kepada masyarakat untuk terus menuntut ilmu.

Pengawal keselamatan berusia 32 tahun serta berkelulusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) itu menyimpan koleksi tersebut dengan menumpangkannya di bilik imam masjid dan tular selepas seorang pengguna Facebook, Kamarul Faizal berkongsi di media sosial.

“Koleksi buku ini bukan milik ustaz, imam masjid, pensyarah, cikgu, pegawai atau eksekutif, tetapi milik seorang pekerja pengawal keselamatan atau sekuriti sebuah masjid di Sungai Buloh.



“Bahasa mudahnya jaga atau ‘pak guard’. Selepas ini jangan pandang sebelah mata. Sebelum ini saya pernah berkongsi buku bukan fiksyen yang saya temui di meja pos pengawal. Rupanya buku tersebut miliknya dan buku-buku tersebut ditumpang simpan dalam bilik imam masjid.

“Saya ingat mungkin pengawal keselamatan yang bekerja secara separuh masa atau sementara disebabkan cuti belajar. Simpanan bukunya terdiri daripada buku pelbagai terbitan selain buku agama dan umum yang pelbagai penerbit,” katanya pada hantaran tersebut baru-baru ini.

Kamarul berkata, selain itu, bacaan lain yang turut menjadi koleksi pengawal keselamatan tersebut ialah beberapa ensiklopedia hadis dan tafsir yang berjilid-jilid.

“Saya terkesima dengan koleksi miliknya. Itu belum lagi dari rumahnya di kampung, menginspirasikan.



“Saya bertanya lulusan kolej atau universiti mana? Dia cuma memaklumkan lulusan STAM sahaja. Wah, kagum saya dengan semangat membacanya. Umurnya 32 tahun dan telah bekerja menjadi pengawal keselamatan di masjid tersebut selama 12 tahun.

“Pelbagai soalan saya bertanya kepadanya kerana kagum. Dia telah membaca sejak dari sekolah lagi dan kesedaran itu timbul sendiri. Keluarganya bukanlah pembaca tegar. Cuma emaknya rajin membeli Mastika. Pada saya keluarga tetap memainkan peranan walaupun mungkin tidak besar, tetapi ia tetap mencetuskan minat untuk permulaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Kamarul memberitahu, selain pengawal keselamatan, lelaki tersebut turut melakukan kerja sebagai bilal dan siak di masjid itu.

“Memandangkan koleksi buku yang banyak, saya bertanya bagaimana dari segi perbelanjaannya. Gaji dan elaun itu memampukan dia untuk membeli buku, kagum.

“Dia yang telah berkeluarga duduk di penempatan yang disediakan oleh pihak masjid secara percuma, rezeki. Tiada bajet yang spesifik untuk pembelian buku. Jika ada buku menarik yang diterbitkan atau dikongsikan barulah dia akan membelinya.

-Kosmo Online-

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker