‘Saya tak pernah meragui Azizulhasni’

Oleh – Syeikh Baran


'Saya tak pernah meragui Azizulhasni'
Beasley (tiga dari kiri) bersama Azizulhasni (dua kanan) ketika menjalani latihan.

Pengarah Teknikal skuad berbasikal negara, John Beasley meleraikan kebimbangan semua pihak apabila memaklumkan Datuk Azizulhasni Awang berada dalam keadaan baik selepas terpaksa menarik diri daripada perlumbaan penentuan pingat gangsa acara pecut individu di Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa di Adelaide, Australia, semalam.

Beasley berkata, keputusan menarik diri dibuat kerana pihaknya tidak mahu mengambil sebarang risiko yang boleh mengundang kepada perkara yang tidak diingini membabitkan tahap kesihatan pelumba berusia 36 tahun itu.
 

“Datuk Azizulhasni dalam keadaan baik, kami memutuskan yang dia sudah pun melakukan yang terbaik dan sudah tiba masanya untuk kami menjaganya (kesihatannya). Seperti yang semua tahu, dia tidak berada dalam keadaan kesihatan 100 peratus dan tiada guna untuk memaksa dia dan mengambil risiko.

“Dia menyumbang pingat emas (acara keirin) kepada Malaysia dan menamatkan saingan pecut di tempat keempat. Ia menjadi tanggungjawab kami untuk mengutamakan kesihatannya dan membantu dia bersedia untuk Sukan Olimpik Paris.



“Kini, saingan Piala Negara-Negara sudah pun berakhir dan Datuk Seri Dr Jeffrey Jeswant Dillon (Pengarah Sukan Kardiovaskular dan Kecergasan merangkap Pakar Perunding Kanan Bedah Institut Jantung Negara) sedang mengatur beberapa siri ujian yang akan dilakukan untuk tempoh beberapa minggu akan datang untuk kita bergerak ke hadapan membina momentum menuju ke Paris,” kata Beasley kepada BH Sukan.

Kelmarin, Azizulhasni yang diberi julukan The Pocket Rocketman membuktikan tiada apa yang mampu menghalangnya biarpun dibelenggu masalah kesihatan apabila memenangi pingat emas dalam acara keirin sebelum terkandas di separuh akhir acara pecut individu, semalam yang kemudiannya menyaksikan dia menarik diri daripada perlumbaan penentuan gangsa.

Sebelum ini, Beasley mendedahkan yang penyertaan Azizulhasni di Adelaide akan dipantau rapi selepas dia perlu mengambil ubat perikarditis – ubatan yang berkaitan dengan jantungnya sejak beberapa minggu lalu.

Pada April 2022, Azizulhasni terpaksa menjalani pembedahan jantung terbuka susulan disahkan mengalami masalah jantung jarang ditemui dikenali sebagai arteri koronari kanan yang menyalur dari aorta di posisi janggal/ganjil (AAORCA) di Hospital Epworth Richmond, Melbourne.



Dalam pada itu, Beasley menegaskan pihaknya tidak pernah sesekali meragui tahap kemampuan Azizulhasni untuk kembali bangkit di sebalik masalah kesihatan dialaminya sekali gus kekal sandaran utama untuk menggalas tanggungjawab negara di Olimpik Paris.

“Ramai meragui mengenai kemampuannya untuk kembali pada tahap prestasi terbaik tetapi kami tidak pernah meraguinya. Saya harap seluruh rakyat Malaysia akan terus berada di belakang atlet negara dalam misi untuk ke Paris.

“Bukan mudah untuk menjadi Olimpian dan lebih sukar bagi memenangi pingat. Jadi, teruskan berada di belakang mereka kerana mereka memberikan semuanya untuk anda,” katanya.

Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker