TNB juara Piala Sumbangsih

Oleh – Syeikh Baran


TNB juara Piala Sumbangsih
KECEMERLANGAN Fitri Saari (kanan) yang meledak dua gol masih gagal bantu THT raih kejuaraan hatrik Piala Sumbangsih di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi. – HOKITA

Hasrat Pasukan Hoki Terengganu (THT) untuk melakar hatrik Piala Sumbangsih tidak terlaksana selepas tunduk 1-3 kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi penentuan penalti shoot-out di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.

Biarpun tanpa khidmat pemain import, THT yang hadir selaku juara bertahan mempamer kebangkitan pada suku keempat untuk memastikan keputusan seri 2-2 dalam tempoh 60 minit aksi sebenar.

Terdahulu, segalanya bermula cemerlang buat TNB untuk menafikan impian besar THT apabila membuka jaringan pertama seawal minit ketiga menerusi pemain import dari Korea Selatan, Jang Jong Hyun



Minit ke-24, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal meledak gol kedua TNB, namun THT segera memberikan reaksi balas untuk memperoleh jaringan pertama menerusi bintang sensasi negara, Fitri Saari.

Permainan sengit terus disajikan pada suku ketiga dengan menyaksikan kedua-dua pasukan saling mencipta peluang, namun tiada sebarang tambahan jaringan mampu dihasilkan.

Bagaimanapun, hasrat TNB untuk mengesahkan kejuaraan lebih awal tidak terlaksana apabila Fitri sekali lagi meledak untuk mengikat aksi 2-2 dan memaksa pemenang ditentukan menerusi penalti shoot-out.

Nasib seakan tidak menyebelahi THT apabila Muhamad Faris Harizan dan Muhammad Noor Firdaus Rosdi gagal menyudahkan dua penalti shoot-out pertama, namun Fitri sekali lagi menyerlahkan kualitinya untuk meledak gol pertama buat wakil Pantai Timur itu.



Walaupun Firhan Ashaari turut gagal pada penalti shoot-out pertama buat TNB, tetapi ketenangan Shahril Saabah memberikan kelegaan sebelum Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi dan Azrai Aizad Abu Kamal melengkapkan kemenangan pasukannya.

Dalam saingan wanita, Malaysian University muncul juara baharu Piala Sumbangsih selepas meraih kemenangan, juga menerusi penentuan penalti shoot-out 3-0 ke atas Negeri Sembilan selepas aksi sebenar berakhir 2-2.

Kesemua gol penalti shoot-out Malaysian University disempurnakan oleh Nurmaizatul Hanim Syafi Shiek Fuad, Siti Nur Arfah Mohd Nor dan Nuramirah Shakirah Zulkifli.

Sumber – KOSMO! ONLINE




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading