Warga asing dipukul akan ditahan semula

Oleh – Syeikh Baran


Warga asing dipukul akan ditahan semula
Allaudeen (tiga kanan) ketika mengadakan program Lawatan Pemantauan Projek Perintis Rapid KL Safety Point Ketua Polis Kuala Lumpur, hari ini.

Seorang warga asing yang terbabit dalam pergaduhan di hadapan sebuah restoran makanan segera di Jalan Bukit Bintang, baru-baru ini, akan ditahan sekali lagi di bawah Seksyen 507A Kanun Keseksaan (kesalahan menghendap).

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, ia susulan laporan yang telah dibuat oleh pengurus restoran berkenaan, semalam, terhadap lelaki berkenaan yang kini direman empat hari sehingga Jumaat ini.



“Sekarang ada dua laporan. Pertama, kita dah buka kes di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan yang kedua ni Seksyen 507A Kanun Keseksaan pula seperti yang dibuat oleh pengurus terbabit.

“Jadi kita akan buat dua siasatan di mana siasatan tengah berjalan dan akan tahan individu berkenaan (kali kedua),” katanya selepas selesai program Lawatan Pemantauan Projek Perintis Rapid KL Safety Point Ketua Polis Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Terdahulu media melaporkan, empat lelaki warga tempatan dan seorang warga asing ditahan kerana terbabit dalam pergaduhan berkenaan, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Noor Dellhan Yahaya berkata, penahanan kesemua mereka dibuat susulan pihaknya menerima laporan berkenaan video tular yang dimuat naik di media sosial yang memaparkan insiden pergaduhan terbabit.



Katanya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada tindakan lelaki warga asing terbabit dikatakan mengganggu seorang wanita yang juga pengurus restoran terbabit.

Beliau berkata, empat lelaki tempatan yang ditahan direman selama sehari pada 6 Feb (semalam), manakala lelaki warga asing itu direman empat hari sehingga Jumaat ini bagi siasatan lanjut.

Dalam perkembangan lain, Allaudeen memaklumkan, kertas siasatan himpunan ‘Selamatkan Tanah Air Kita Suara Rakyat Ke Istana Negara’ di pintu dua Istana Negara, 23 Januari lalu, telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Beliau berkata, pihaknya telah pun berbuat demikian pada minggu lalu.



“Ia telah pun diserahkan kepada AGC minggu lepas lagi dah. Jadi, kita tunggulah keputusan,” jelasnya.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button