Dua lelaki ‘Geng Pian’ didakwa samun, rompak

Oleh – Syeikh Baran


Dua lelaki ‘Geng Pian’ didakwa samun, rompak
Mohd. Sufian (kiri) dan Mohd. Sahuri ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Dua lelaki kumpulan samun “Geng Pian” didakwa di tiga Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan melakukan rompak dan samun berkumpulan di bank tahun lalu.

Bagaimanapun kedua-dua tertuduh iaitu Mohd. Sufian Wahab dan rakannya Mohd. Sahuri Hassim yang kedua-duanya berusia 39 tahun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali, Norina Zainol Abidin dan Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi.

Bagi empat pertuduhan merompak kedua-duanya didakwa bersama-sama melakukan rompak no berkumpulan bersenjatakan sebilah pisau terhadap tiga individu masing-masing sebanyak RM4,300, wang tunai RM780, wang tunai RM100 termasuk sebentuk cincin emas serta RM3,650 milik sebuah syarikat farmasi.



Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di perkarangan mesin CDM di Rampai Business Park, mesin ATM di Plaza OSK di Jalan Ampang, perkarangan ATM di Jalan Kepong pada 16 Disember dan 27 Disember lalu.

Bagi empat kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama 397 kanun yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bagi satu lagi pertuduhan mereka didakwa samun berkumpulan terhadap seorang lelaki berumur 31 tahun dengan menggunakan sebilah pisau di dalam perkarangan ATM di Jalan Kepong di sini 27 Disember tahun sama.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan dihukum di bawah seksyen sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika disabit kesalahan.



Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM34,000 dengan seorang penjamin dan melaporkan diri di balai polis berhampiran sehingga kes selesai.

Tarikh 5 Mac ini ditetapkan sebutan semula kes.

Semasa prosiding, pendakwaaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Ngoh Jess Lynn Nidzuwan Abd. Latif dan Illya Syaheedah Mohd. Razif manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Kelvinder Singh Deo.

Pada 12 Januari lalu, Kosmo! melaporkan dua lelaki disyaki kumpulan samun ‘Geng Pian’ yang aktif menyamun di Perak dan Kuala Lumpur sejak 2020 akhirnya tumpas apabila dua suspek ditahan baru-baru ini di dua lokasi berasingan.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker