Isu tunggakan gaji terus aibkan Liga M

Oleh – Syeikh Baran


Isu tunggakan gaji terus aibkan Liga M
Pemain Kedah antara yang dibelenggu dengan isu tunggakan gaji.

Maruah dan imej kancah Liga Malaysia (Liga M) terus dicemari dengan isu tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan.

Isu berkenaan ibarat kanser yang berjangkit kepada pasukan bertanding setiap tahun dengan ia menunjukkan bahawa sesetengah pasukan seakan tidak belajar daripada pengalaman lalu.

Apa tidaknya, ia bukan kali pertama isu berkenaan berlaku, beberapa pasukan seperti Melaka United, Sarawak United dan Kelantan pernah dikenakan hukuman disingkir daripada saingan Liga Super susulan masalah tunggakan gaji.



Sudah banyak kali peringatan diberikan kepada kelab supaya mereka melakukan perbelanjaan mengikut kemampuan atau mengukur baju di badan sendiri.

Malah, tidak kurang juga ada pihak yang sudah menyarankan supaya kelab berbelanja berdasarkan dana yang mereka ada dan tidak mengharapkan janji mulut daripada penaja tanpa perjanjian hitam putih.

Namun, peringatan atau saranan itu seakan tidak didengari sesetengah kelab hingga mereka terjerumus dalam isu berulang iaitu gagal membayar gaji pemain dan pegawai pasukan terutama apabila tiba penghujung musim.

Lebih parah apabila ‘penyakit’ itu seakan merebak semakin teruk dengan beberapa pasukan besar atau ternama seperti Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Kuala Lumpur (KL) City turut diserang isu sama.



Persoalannya, sampai bila isu tunggakan gaji ini akan terus merosakkan Liga M dan sampai bila ia akan dijadikan bahan sajian kepada seluruh peminat bola sepak tanah air?

Selain itu, tahap profesional pengurusan kelab juga dipersoal kerana isu tunggakan gaji menunjukkan bahawa mereka masih belum mencapai tahap profesional dan gagal menguruskan pasukan dengan baik.

Perubahan harus dilakukan dengan semua pengurusan kelab wajib sedar tugas besar mereka dalam menguruskan pasukan bola sepak terutama dari aspek penting menunaikan kewajipan terhadap kebajikan pemain.

Tindakan drastik dengan menarik lesen pasukan terbabit mungkin boleh dilakukan badan pentadbir Liga M, namun adakah kita rela untuk melihat tidak sampai 10 pasukan bersaing dalam Liga Super?



Cukuplah kesedihan yang dialami peminat pasukan Melaka United, Sarawak United, Kelantan dan Perlis selepas apa yang berlaku terhadap pasukan mereka sebelum ini.

Ketika ini, jutawan atau syarikat besar diharap dapat membantu pasukan bola sepak di negara ini dalam meneruskan kelangsungan untuk terus bersaing dalam Liga M.

Ia penting kerana isu tunggakan gaji ini juga sebenarnya memberi kesan kepada pembentukan skuad kebangsaan yang mana ia akan menjejaskan prestasi pemain yang berpotensi menjadi tonggak buat Harimau Malaya.

Sumber – BERITA HARIAN




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading