Polis dikecam sertai pertandingan ratu cantik

Oleh – Syeikh Baran


Polis dikecam sertai pertandingan ratu cantik
Kapten Polis Atitiya ‘Cat’ Benjapak menyertai beberapa pertandingan ratu cantik di Thailand. – Facebook

Seorang anggota polis wanita di Thailand mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen selepas menyertai beberapa pertandingan ratu cantik termasuk  Miss Thailand 2024, lapor laman berita Thaiger.

Kapten Polis Atitiya ‘Cat’ Benjapak  pernah menjadi penyanyi sebelum bergelar pegawai polis.

Dia  pernah mengambil bahagian dalam beberapa pertandingan ratu cantik termasuk Miss Thailand Chon Buri 2023, Miss Grand Si Sa Ket 2018, Miss Polo Asia 2019 dan Miss Tourism of the Globe 2021.



Pada 2020, Cat menyertai pasukan Polis Diraja Thailand (RTP) dan berkhidmat di  Pejabat Setiausaha Polis. 

Wanita berusia 27 tahun itu mencetuskan kontroversi semalam selepas diumumkan sebagai antara  30 peserta Miss Thailand 2024.

Ramai netizen mempersoalkan penglibatan seorang pegawai polis dalam pertandingan ratu cantik dan industri hiburan.

“Berapa kerap anda bertugas sebagai polis? Nampaknya, anda menyertai setiap pertandingan (ratu cantik),” kata seorang pengguna media sosial.



Menjawab kontroversi itu, jurucakap RTP, Archayon Kraithong berkata, tiada sebarang peraturan yang melarang anggota polis daripada mengambil bahagian dalam pertandingan ratu cantik.

“Pejabat Setiausaha Polis bertanggungjawab untuk mengawal dan menyelianya (Cat). Selagi penyertaannya tidak menjejaskan tugas dan imej RTP, dia boleh mengambil cuti mengikut peraturan RTP untuk menyertai pertandingan ratu cantik,” katanya. – AGENSI 

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker