11 pengawal keselamatan ditahan simpan ‘pump gun’ bawah katil, dalam almari atau kereta

Oleh – Syeikh Baran


11 pengawal keselamatan ditahan simpan 'pump gun' bawah katil, dalam almari atau kereta
Hussein Omar Khan (tiga dari kanan) menunjukkan rampasan senjata api jenis ‘pump gun’ serta peluru pada sidang media di IPK Selangor. STR / FAIZ ANUAR

Tindakan 11 pengawal keselamatan membawa pulang ‘pump gun’ ke rumah selepas selesai tugas membawa padah apabila mereka ditahan polis dalam serbuan di sekitar Sabak Bernam dan Kuala Selangor pada Selasa dan Rabu lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, semua pengawal keselamatan berusia antara 25 hingga 53 tahun itu bertugas di beberapa bank di dua daerah berkenaan dan masing-masing bernaung di bawah sebuah syarikat keselamatan berpangkalan di Kuala Lumpur.



Selain tangkapan, katanya, polis merampas 11 laras ‘pump gun’ dalam milikan semua pengawal keselamatan itu, selain 55 peluru jenis 12 Bore serta sebuah kereta.

“Semasa serbuan semua suspek sudah selesai bertugas dan mereka dikesan menyimpan senjata api di rumah masing-masing seperti di bawah katil, di tepi dan dalam almari serta dalam kereta.

“Siasatan awal mendapati, mereka membawa senjata api balik ke rumah menggunakan motosikal dengan cara tidak selamat seperti menggalas senjata berkenaan.

“Soal siasat mendapati, mereka diarahkan syarikat untuk menyimpan senjata api di rumah selepas tamat waktu kerja dan kejadian ini berlanjutan selama kira-kira dua tahun kerana syarikat ini dilesenkan di Kuala Lumpur,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, hari ini.



Hussein berkata, siasatan lanjut mendapati syarikat ini melakukan lima kesalahan sebelum ini sejak 2015.

Beliau berkata, syarikat keselamatan tidak boleh mengambil mudah aspek keselamatan senjata api seperti tidak membuka cawangan di kawasan tempat bertugas dan tidak membina bilik kebal senjata api semata-mata demi menjimatkan kos.

“Polis mengingatkan syarikat keselamatan yang memiliki atau mempunyai lesen senjata api supaya mematuhi peraturan lesen dikeluarkan.

“Kegagalan mematuhi peraturan itu, (boleh menjurus kepada) penyalahgunaan senjata api seperti kejadian samun bersenjata api, melakukan pemerasan, perselisihan faham dan sebagainya.



“Syarikat keselamatan ini boleh diambil tindakan sehingga dibatalkan lesen senjata api berkenaan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Senjata Api 1960.

Sumber – BERITA HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button